Pencarian Bakat Baru Drama Aksi ‘Seludup’ Di Institusi Pengajian Tinggi

‘Seludup’, sebuah drama siri aksi dan cinta terbaru berkisar kegiatan penyeludupan haram, telah dilancarkan oleh Astro Malaysia dan Mastermind Group Sdn Bhd baru-baru ini.

Mereka telah membuat lawatan ke Kolej Teknologi Cosmopoint di Kuala Lumpur untuk mencungkil bakat baru justeru menggalakkan pelajar-
pelajar menyertai peraduan #masukdramaseludup.

Selain Cosmopoint, produksi ‘Seludup’ juga telah mengunjungi Universiti Industri Selangor (UNISEL), Universiti Multimedia di Cyberjaya dan Universiti Tenaga Nasional (Uniten).
Pencarian bakat baru untuk drama aksi Seludup
Sekiranya terpilih, dua peserta yang bertuah akan berpeluang untuk berganding bersama-sama pelakon-pelakon terkenal negara yang bakal membarisi drama ini.

Peneraju utama produksi ‘Seludup’ terdiri daripada Pekin Ibrahim dan Tiz Zaqyah berserta pelakon-pelakon lain termasuk Namron, Raja Ilya dan Syafie Naswip. Selain bertindak sebagai penerbit, Jehan Miskin turut memainkan peranan sebagai pelakon pembantu.

Berdasarkan temubual bersama beberapa pelajar, didapati ramai yang mula sedar risiko gejala kegiatan penyeludupan haram di dalam masyarakat.

Menurut Jehan Miskin,

Produksi drama ‘Seludup’ akan membuat lawatan ke beberapa buah kolej yang lain untuk tujuan pencarian bakat baru ini.

Selain daripada memberi peluang kepada muka-muka baru dan memberi laluan kepada mereka untuk menceburi bidang lakonan, kami juga ingin memeriahkan lagi suasana industri hiburan tanahair.

Peluang menimba pengalaman untuk berlakon bersama Pekin, Tiz dan Namron sudah semestinya peluang yang tidak patut dilepaskan.

Peraduan Masuk Drama Seludup

Peraduan #masukdramaseludup memberi peluang sekali seumur hidup kepada seorang pemenang lelaki dan wanita untuk tampil di dalam drama tersebut, di samping beberapa hadiah menarik lain bernilai hingga RM15,000 setiap satu.

Peraduan ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia, dari 18 hingga 35 tahun.

Setakat ini, sebanyak lebih 80 video uji bakat telah diterima dan kesemuanya telah dimuatnaik ke laman FB Seludup untuk tujuan undian. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 3 Ogos, 2014.

Untuk maklumat lanjut mengenai peraduan #masukdramaseludup termasuk terma dan syarat, sila layari dan daftar penyertaan di laman FB Seludup: www.facebook.com/seludup

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments