Tonton Dapat 4 Percalonan di Anugerah Televisyen Asia 2014

Percalonan di Anugerah Televisyen Asia 2014
Tonton (www.tonton.com.my), portal video tempatan No.1 di Malaysia berjaya menguasai pencalonan di Anugerah Televisyen Asia 2014 (ATA 2014) untuk kategori Program / Siri Fiksyen Digital & Bukan-Fiksyen Terbaik.

Kategori yang pertama kali diperkenalkan mulai tahun ini, mengiktiraf perkembangan trend penghasilan original untuk kandungan digital.

Tonton berjaya menggondol empat daripada enam pencalonan dalam kategori ini menerusi siri drama web “Autumn Di Hatiku”, “Autumn Di Hatiku 2”, “Dan Calonnya Adalah…” dan persembahan komedi web, “Stand Up”.

Menurut Shahida Azad Jamaluddin, Ketua Penjenamaan Tonton & Platform Digital TV, Media Prima Digital.

“Kami begitu gembira mengetahui kebanyakan Siri Original Tonton telah disenarai-pendek sebagai finalis di ATA tahun ini.

Kejayaan ini sangat bermakna buat kami yang telah berusaha keras memacu penghasilan kandungan digital untuk tontonan umum selain kualiti produksi yang terbaik.

Dan mengetahui wujudnya keperluan untuk penonton di dunia global menikmati bukan sahaja kandungan TV, kami akan terus menawarkan lebih banyak kandungan digital di tahun 2015 kelak,”

Autumn Di Hatiku

Autumn Di Hatiku

Berkisar tentang Nina (Hanez Suraya), yang bekerja di sebuah kedai kek dan merupakan peminat fanatik K-Pop. Nina hidup dalam dunia K-Popnya tersendiri; tampil bergaya seperti seorang aktres Korea lengkap dengan solekan serta fesyen rambut mengikut gaya bintang kegemarannya selain turut cuba mempelajari bahasa Korea.

Bersama dengan rakan karibnya Jaja (Ezzaty Abdullah), Nina begitu obses dengan drama Korea; malah sering bercerita tentang jalan cerita yang ditontonnya selain mengajuk lakonan bintang yang diminatinya ketika waktu lapang.

Kemunculan seorang pelanggan, Park Au Tum, atau dikenali dengan ‘Autumn’ (Kim Jin Sung) di tempat kerjanya pada suatu hari telah mengubah segalanya. Kehadiran Autumn di Malaysia kerana urusan perniagaan telah mencuri perhatian Nina. Nina yang malu-malu mulai jatuh hati kepada Autumn yang tidak fasih berbahasa Inggeris.

Pelakon: Kim Jin Sung (JS), Hanez Suraya, Aiman Hakim Ridza, Ezzaty Abdullah & Anas Ridzuan

Autumn Di Hatiku 2

Autumn Di Hatiku 2

Meneruskan kesinambungan musim pertama apabila Nina (Hanez Suraya) kembali solo dan kini menguruskan perniagaan bakeri.

Selain memendam rasa rindunya terhadap Zidick dan Autumn (Kim Jin Sung), Nina perlu berhadapan dengan pesaing perniagaannya. Sebuah kedai bakeri milik Summer (Youmie Robert) baru sahaja dibuka dan telah menarik perhatian ramai pelanggan.

Nina, Jaja (Ezzaty Abdullah) dan rakan mereka, Ramon (Iedil Putra) mulai merancang strategi untuk mengatasi pesaing perniagaan mereka, yang juga merupakan seteru Nina dalam merebut perhatian Autumn.

Rakan perniagaan Autumn, Rizal Abdul Waris (R.A.W lakonan Amran Ismail) pula tiba-tiba muncul cuba memikat hati Jaja tetapi pada masa yang sama mahu menyingkirkan Autumn daripada syarikatnya.

Pelakon: Hanez Suraya, Kim Jin Sung (JS), Youmie Robert, Ezzaty Abdullah, Amran Ismail & Iedil Putra

Dan Calonnya Adalah…

Dan Calonnya Adalah…

Mengisahkan cabaran hidup seorang gadis, Katrina (lakonan Faralyna Idris) yang dikongkong ibunya Puan Kamariah (lakonan Maria Tunku Sabri) termasuk dalam pemilihan bakal suaminya sendiri.

Atas desakan ibunya, Katrina perlu mencari jodoh pilihan hatinya sebelum akhir tahun atau bakal dikahwinkan dengan Haris (lakonan Anding Indrawani), anak kepada rakan ibunya. Katrina mulai mengatur temujanji dengan jejaka pelbagai ragam dalam misi mencari calon suami yang sesuai.

Dengan bantuan rakannya Shai (lakonan Janna Nick) serta agensi mencari jodoh yang dimiliki oleh Cik Pooja (lakonan Susan Lankester),

Katrina perlu berhadapan dengan karenah 14 jejaka antaranya usahawan paling muda, Aman (Harris Idola Kecil), Azman (Anas Ridzuan) yang gemar berpantun, Ehsan (Dafi Ismail Sabri) seorang perompak, Park (Kim Jin Sung – Korea) seorang arkitek dan model, Karim (Aidil Aziz) penganiaya haiwan, Kamil (Amar Baharin) seorang ‘camwhore’, Julian (Jeremy Teo), Sulayman (Ikhwan Hot FM), Rohan (Aldo Gumara – Indonesia) seorang atlet dan ramai lagi.

Pelakon: Faralyna Idris, Anding Indrawani, Maria Tunku Sabri, Susan Lankester, Janna Nick, Syazliana Shuhaimi, Kim Jin Sung (JS), Anas Ridzuan, Aidil Aziz, Dafi Ismail Sabri, Harris Alif, Elyana, Ikhwan, Jeremy Teo, Amar Baharin & ramai lagi

Stand Up

Menerusi kehadiran penonton secara langsung dalam suasana kabaret, ‘Stand Up’ menghimpunkan 14 pelawak terkenal dengan jenaka paling kelakar di atas satu pentas. ‘Stand Up’ melopori rangkaian komedi tempatan yang dipersembahkan secara santai dan bersahaja dengan elemen gelak tawa namun masih mengekalkan kualiti hiburan berjenaka.

Menampilkan: Papi Zak, Keren Bala Devon, Sulaiman Azmil, Shamaine Othman, Kavin Jay, Brian Tan, Joanne Kam, Rizal Van Geyzel, Jinx Yeo, Andrew Netto, Dr. Jason, Jonathan Atherton, Sherry Alhadad dan Zulin Aziz.

Tonton telah mencatatkan lebih 4 juta pengguna berdaftar sehingga kini, Tonton turut menyambut ulang tahunnya ke-4 pada tahun ini.

Pengguna di seluruh dunia boleh menonton kesemua siri web yang tercalon termasuk siri web baharu “Hanya Satu” di www.tonton.com.my.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments