Album Kompilasi Ella #Throwback

Ella Throwback
Warner Music Malaysia kini menampilkan sebuah lagi album kompilasi Ella yang menggabungkan lagu-lagu terbaik Ella sepanjang beliau bergelar sebagai seorang penyanyi yang berjudul “Ella #Throwback”.

Perkataan throwback dipilih sesuai dengan trend semasa yang sering diguna pakai oleh penggemar media sosial untuk mengimbau kenangan atau memori yang lepas. Lagu-lagu di dalam album ini juga pastinya akan menggamit semula kenangan kita semua terutama sekali kepada mereka yang membesar dengan lagu-lagu Ella.

Seperti yang kita sedia ketahuai,

Ratu Rock Malaysia ini mula menempah nama di industri muzik tanah air sejak tahun 1990-an telah menghasilkan banyak lagu-lagu hits rock terbaik seperti ‘Permata Biru’, ‘Layar Impian’, ‘Kesal’, dan ‘Sembilu’.

Memulakan karier nyanyiannya sejurus menamatkan alam persekolahan, Ella menyertai kumpulan The Boys dan merakamkan suara buat pertama kali pada tahun 1986, di saat kegemilangan muzik rock di Malaysia bermula.

Selepas menghasilkan 2 buah album bersama The Boys, Ella mengambil langkah berani untuk muncul sebagai penyanyi solo pada tahun 1989 dan tampil dengan album hit pertama bertajuk “Pengemis Cinta” yang menampilkan lagu-lagu hit seperti ‘Pengemis Cinta’ dan ‘Permata Biru’.

Salah satu kehebatan Ratu Rock Malaysia ini juga boleh dilihat pada tahun 1998 apabila Malaysia menjadi tuan rumah untuk acara Sukan Komanwel 1998 dan Ella telah dipilih untuk menyanyikan lagu tema untuk acara tersebut yang bertajuk ‘Standing In The Eyes Of The World’. Ella merupakan satu-satunya artis Malaysia yang dipilih untuk menjadi penyanyi bagi lagu tema tersebut.

Album kompilasi “Ella #Throwback” ini mengandungi lagu-lagu yang hebat seperti ‘Mendung Tak Bererti Hujan’ nyanyian bersama Deddy Dores, ‘Tiada Tangis Lagi’, ‘Gemilang’, ‘Terminal Cinta’ dan juga mempunyai hasil karya dari penulis lirik dan komposer yang termahsyur di tanah air seperti Ajai, Fauzi Marzuki, Datuk M Nasir, Habsah Hassan, dan ramai lagi.

Untuk lagu ‘Gemilang’ ia telah dikarang oleh Kyoji Yamamoto di mana Ella telah bergabung dengan komposer Jepun untuk menghasilkan lagu tersebut.

Tidak dinafikan bahawa terdapat banyak album kompilasi Ella yang sudah dipasarkan sebelum ini, namun atas permintaan yang amat memberangsangkan dan Ella sendiri mempunyai banyak lagu hits, pihak Warner Music Malaysia dengan berbesar hati menerbitkan satu lagi album kompilasi yang lain dari sebelum ini.

Album ini merupakan album kompilasi yang memuatkan lagu-lagu hit Ella dengan menampilkan 32 buah lagu yang diambil daripada album pertama beliau sehinggalah single terbaru beliau yang telah dirakam pada tahun 2013 seperti ‘Mereka Di Depan Kita’, ‘Permaisuri’ nyanyian bersama Ajai dan ‘Chinta Dulu Kala’ nyanyian bersama Azlan Typewritter.

Album “Ella #Throwback” ini merupakan satu lagi edaran Warner Music (M) Sdn Bhd dan boleh didapati dengan harga RM29.90.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments