Episod Istimewa di Majalah 3 – Sedekad Tsunami

Majalah 3 - Sedekad Tsunami
Bencana Tsunami yang pernah melanda Aceh kini telah 10 tahun berlalu. Tarikh 26 Disember 2004 menyimpan seribu satu perasaan duka dan hiba di bumi yang digelar Serambi Mekah itu tatkala diduga kuasa yang Maha Esa.

Namun siapa juga menyangka andai peristiwa hitam itu mempunyai hikmahnya yang tersendiri.

Istimewa di TV3, Majalah 3 akan membawakan satu episod mengenai “Sedekad Tsunami” pada hari Isnin, 22 Disember 2014 jam 9.00 malam.

Lebih 230,000 nyawa terkorban akibat tamparan Tsunami pada 26 Disember 2004. Bumi Aceh, dan Thailand antara yang terkesan teruk.

10 tahun lalu, wartawan Norzie Pak Wan Chek bersama penerbit Majalah 3, Mohd Said Abdullah Thani telah ke sana untuk membuat liputannya. Manakala wartawan Abdullah Sidek Majin, ke Phuket Thailand bagi melihat kesan Tsunami.

Episode istimewa kali ini, Majalah 3 bakal membawakan perkhabaran kehidupan baharu di dua negara ini, selepas 10 tahun tragedi hitam itu.

Norzie kali ini bersama penerbit Majalah 3, Nurul Fariha Onn, ke bumi Aceh. Lima tahun sebelum Tsunami, Aceh suatu ketika dahulu dikenali sebagai bumi bergolak akibat konflik politik yang bagaikan tiada kesudahan, sehinggalah Tsunami melanda Aceh Darussalam.

Sedekat Tsunami Majalah 3Dua kali rakyatnya melalui fasa derita. Namun setiap yang berlaku. sudah dirancang oleh Maha Pencipta yang pasti ada hikmahnya.

Norzie kembali melihat beberapa lokasi yang dikunjunginya 10 tahun lalu. Antaranya, ke Masal Perkuburan Islam.

Mengimbas kembali…

Pada 2004, ramai yang terkesan dengan laporan Norzie ketika dia melihat sendiri proses pengkebumian beramai-ramai dilakukan dalam satu lubang dilakukan dengan menggunakan jentolak tanpa melalui proses yang sempurna.

Ini disebabkan terlalu banyak mayat yang dijumpai sudah dalam keadaan busuk dan perlu dikebumikan segera.

Sinopsis Sedekad Tsunami – Majalah 3

Di masal ini krew Majalah 3 temui insan yang mengkebumikan mayat-mayat mangsa yang terkorban akibat Tsunami dengan menggunakan jentolak pada 10 tahun lalu. Majalah 3 berkongsi pengalaman bersama Muhammad Kassim, berusia 63 tahun.

Dahulunya dia hanya membantu untuk menyempurnakan mayat terbiar ini agar dikebumikan. Namun apa yang dilakukan tidak berakhir di situ. Dia kini menjadi penjaga Masal Perkuburan ini.

Sementara itu, Nurul Fariha Onn menemui pejuang-pejuang Tsunami yang masih bertahan walaupun kehidupan mereka telah banyak berubah. Sebagaimana Tsunami mengubah peta topografinya. Begitu juga nasib masyarakatnya.

Samsul Rizal, dahulunya seorang “tauke” besar, menangkap ikan yu untuk mendapatkan sirip serta dagingnya bagi diimport ke Medan. Kemewahannya dapat digambarkan apabila dia mengakui dia mempunyai enam buah bot nelayan laut dalam. Namun ombak Tsunami mengubah segalanya.

Enam buah botnya hilang ditelan ombak Tsunami. Kini dia hanya bergantung hidup dengan menjual ikan masin demi keluarga. Pendapatannya tidak menentu sehinggakan banyak ikan masinnya yang terpaksa dibuang akibat busuk tidak terjual.

Ada yang masih hidup dalam trauma. Ada yang telah menerima segala takdir Ilahi. Ada yang masih mengharapkan keajaiban berlaku. Agar menemui kembali keluarga yang masih hilang tanpa khabar berita.

Ada yang dari seorang yang susah, selepas Tsunami meraih rezeki dan kebahagian.

Masjid Rahmatullah di Lhoknga

Seperti kisah yang diperolehi di Masjid Rahmatullah di Lhoknga. Masjid yang terselamat di tengah-tengah padang jarak padang terkukur

Gambarnya menjadi tatapan dunia menggambarkan betapa hebatnya kekuasaan Allah swt.

Norzie kembali di situ dan melihat pembangunan semula. Ramli Abidin, hilang anak dan isteri didepan mata akibat ditelan omnak tsunami. kesedihan itu membawanya untuk lebih dekat kepada Allah swt bagi merawat jiwanya.

Kekosongan itu terisi apabila dia yang dahulunya seorang petani biasa, kini menjadi bilal di masjid itu.

Kisah jatuh bangun masyarakat Aceh selepas Tsunami membuka mata krew Majalah 3 tentang hikmah disebalik yang terjadi. 10 tahun Tsunami, rakyat Aceh bangkit meneruskan kehidupan biarpun pernah diuji.

Sementara di Phuket Thailand, wartawan Abdullah Sidek Majin mengunjungi kembali beberapa lokasi yang pernah dijejaki 10 tahun lalu bagi melaporkan keadaannya beberapa selepas Tsunami.

Abdullah Sidek Berjaya menemui semula salah seorang mangsa yang terselamat dan pernah ditemubual 10 tahun lalu. Pertemuan semula ini banyak yang dikongsikan tentang kenangan hitam yang dilalui.

Jangan lupa untuk menyaksikan Majalah 3 – “Sedekad Tsunami” pada hari Isnin, 22 Disember 2014 jam 9.00 malam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments