Apa Khabar Dinobat Sebagai Juara Lagu Ke-29

juara lagu 29 - apa khabar
Lagu Apa Khabar ciptaan SonaOne dan Joe Flizzow telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu ke 29 (#AJL29) yang berlangsung dari Stadium Putra, Bukit Jalil malam tadi.
Lagu yang turut dipersembahkan oleh mereka berdua itu telah memenangi trofi dan wang tunai bernilai RM50,000.
Ini merupakan kejayaan sulung bagi lagu berirama Hip Hop yang buat pertama kalinya dinobatkan sebagai juara dalam sejarah penganjuran Anugerah Juara Lagu.
Sementara itu, lagu nyanyian Shila Amzah bertajuk Masih Aku Cinta yang juga merupakan ciptaan sepenuhnya penyanyi itu telah dinobatkan sebagai naib juara #AJL29 dan membolehkan anak kepada ND Lala ini membawa pulang trofi dan wang tunai bernilai RM35,000.
Tempat ketiga pada #AJL29 pula diberikan kepada lagu ciptaan Tam Spider di mana liriknya pula oleh Iman Imran yang bertajuk Di Pintu Syurga. Lagu tersebut telah dipersembahkan oleh Dayang Nurfaizah dan Berjaya membawa pulang trofi dan wang tunai RM20,000.
Dayang Nurfaizah turut mencatat kejayaan tersendiri apabila vokalnya untuk lagu tersebut telah dinobatkan sebagai Vokal Terbaik dan membawa pulang RM12,000.
Persembahan hebat dari kumpulan Mojo dan Caliph Buskers sewaktu mempersembahkan lagu Romancinta pula telah melayakkan mereka memenangi Persembahan Terbaik dan membawa pulang RM12,000.
Sebanyak 12 lagu telah bertanding dalam #AJL29 pada tahun ini yang membawakan tema `Gema Dalam Muzik`, selain dari lagu-lagu yang disebut di atas, lagu-lagu lain ialah Malaikat nyanyian Hazama (Omar K, Mike Chan & Hazama), Percayalah nyanyian Indah Ruhaila (Aiman/Mohd Atlas), Sesal Separuh Nyawa nyanyian Alyah (Alfie Alwi & Aidil/Shah Shamshiri & Alyah), Gadis Jolobu nyanyian W.A.R.I.S & Dato’ Hattan (DJ Fuzz/W.A.R.I.S & Dato’ Hattan), Rentak Laguku nyanyian Bunkface & Amy Search (Sam Bunkface), Matahari nyanyian Hafiz Suip (Ajai/Transformer Melayu), Gilalah nyanyian Stacy (Omar K & Mike Chan/Stacy) dan Lelaki nyanyian Najwa Mahiaddin & The Palauans (Yuna & AG Coco).
#AJL29 yang bersiaran langsung di TV3 telah dihadiri oleh lebih kurang 10,000 penonton yang memenuhi stadium. Anugerah telah dikemudikan oleh sepasang hos Scha Al-Yahya dan AG.
Persembahan pembukaan tirai #AJL29 telah menyaksikan penampilan istimewa Dato` M. Nasir yang menyampaikan medley Mantera Semerah Padi dan HJati Emas. Turut membuat persembahan di penghujung anugerah ialah Ronnie Hyper Act, Tomok dan penampilan khas kumpulan Headwind.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments