Program Tanggungjawab Sosial Korporat TV3

Program Tanggungjawab Sosial Korporat TV3
TV3 tetap komited untuk meneruskan Program Tanggungjawab Sosial Korporat buat tahun 2015 dan kali ini sesi perkongsian ilmu antara tunjang utama kepada usaha itu.

Hari ini, TV3 bersama komuniti penduduk Taman Bukit Mewah, Kajang, Selangor bersama-sama mengadakan sesi gotong-royong di kawasan setempat selain bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan untuk berkongsi informasi dan nasihat berguna selain mengadakan demonstrasi dan pemeriksaan kesihatan.

Program ini turut merupakan salah sebuah inisiatif oleh pihak TV3 dalam membantu golongan yang memerlukan. Antara objektif utama program ini adalah untuk mengeratkan hubungan pihak stesen TV3 bersama masyarakat setempat dan sebagai penghargaan kepada para penonton yang sentiasa menyokong stesen tersebut.

Tahun ini, program tersebut menumpukan kepada sesi perkongsian ilmu untuk dimanfaatkan kepada komuniti terlibat dengan bekerjasama dengan agensi kerajaan atau Badan Bukan Kerajaan.

Antara pengisian program ini termasuklah sesi kaunseling, ceramah motivasi, pemeriksaan kesihatan, pameran, demonstrasi memadam kebakaran, tempur tanpa senjata dan banyak lagi buat kesedaran orang awam. Konsep ini akan diteruskan untuk program tanggungjawab sosial seterusnya buat Jom Heboh dan Raudhah Di Hatiku nanti.

Di lokasi ini, TV3 juga meraikan seramai 50 orang anak-anak yatim dan miskin dari Rumah Jalinan Kasih, Taman Megah Cheras dengan memberikan mereka set alat tulis dan diceriakan dengan sesi motivasi. Manakala Pusat Pendidikan Kanak-Kanak Taman Bukit Mewah, Kajang pula disumbangkan sebuah set televisyen buat kegunaan mereka.

Menurut Encik Seelan Paul, Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad,

Tahun ini TV3 tetap komited untuk mengadakan projek tanggungjawab sosial korporat kerana ini merupakan salah satu cara penghargaan pihak TV3 kepada para penonton kami.

Malah tahun ini kami menumpukan kepada konsep perkongsian ilmu di mana kami bekerjasama dengan beberapa badan dan agensi untuk mengadakan aktiviti seperti ceramah ilmiah, pameran, pemeriksaan kesihatan dan pelbagai lagi untuk tujuan kesedaran.

Projek tanggungjawab sosial ini juga akan diteruskan di acara tapak kami seperti di Raudhah Di Hatiku dan Karnival Jom Heboh.

Antara jabatan dan badan yang terlibat untuk program tanggungjawab sosial bersama TV3 kali ini adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Persatuan Doktor Gigi Malaysia (MDA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pusat Darah Negara dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Selain itu, kehadiran para personaliti Media Prima Berhad seperti Ally Iskandar, Fiza Sabjahan, Hazrena Kassim dan barisan artis seperti Ungku Ismail Aziz, Fattah Amin, Idzham Ismail, Falisha Crossley, Azmil Mentor Legend, Da’i Wan, Da’i Tajdid Hadhari, dan Issey Titan pula memberikan peluang kepada penduduk setempat untuk mengenali mereka dengan lebih dekat.

Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, penonton boleh melayari laman sesawang TV3 di www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments