Irin Putri Azmi SriKandi Media

Irin Putri Azmi
Irin Putri Azmi dianugerahkan Selempang Srikandi Media Malaysia oleh Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi yang disempurnakan oleh Sultan Pahang, Sultan Abu Bakar Muadzam Shah di Istana Pahang di Kuala Lumpur pada 14 April yang lalu.

Majlis penganugerahan itu meraikan jasa dan sumbangan wanita dari seluruh negara dalam pelbagai bidang yang membawa perubahan ke arah kesejahteraan rakyat dan negara.

“Saya amat bersyukur di atas penganugerahan ini. Saya percaya masih banyak lagi yang harus saya pelajari walaupun telah 11 tahun di dalam bidang produksi TV. Pembelajaran merupakan proses yang tidak pernah berhenti dan pengalaman membantu kita untuk terus berkembang.

Anugerah ini merupakan motivasi untuk saya terus memberikan yang terbaik dalam apa yang sentiasa saya sukakan iaitu – penceritaan.”

Irin Putri Azmi yang merupakan salah seorang personaliti TV3 yang mula menempa nama sejak tahun 2004.

Memulakan tugas sebagai wartawan penyiaran menerusi rancangan Medik TV yang membawa laporan mengenai isu kesihatan, gadis ceria ini ternyata bersungguh-sungguh dalam melunaskan tugasnya dalam membawakan laporan-laporan khas.

Malah sehingga kini beliau mengekalkan ‘identiti’ wartawan kesihatan dengan menghasilkan beberapa laporan berkaitan kesihatan dari semasa ke semasa.

Antara laporan yang signifikan buat gadis ini ialah ‘Berbakti Selepas Mati’ yang merencanakan kisah mayat yang digunakan untuk tujuan pembelajaran pelajar perubatan di Taiwan atas hajat si mati, ‘Tanpa Tangan, Tanpa Kaki, Tanpa Batas’ yang mengisahkan ketabahan kanak-kanak bernama Zy yang tidak memiliki anggota kaki dan tangan.

Malah laporan Penyelamat Khazanah Sabah mengenai eksplorasi bersama Penyelamat Hidupan Liar berkisar tentang operasi menyelamat orang utan dan menjejaki kehidupan liar membuatkan laporan ini diangkat sebagai dokumentari terbaik pada Anugerah Kewartawanan MPI-Petronas 2014.

Irin yang kini merupakan salah seorang pengacara Wanita Hari Ini (Isnin – Jumaat, 12.00 tengah hari) juga menggalas tugas sebagai penerbit rancangan dokumentari Majalah 3 (Isnin, 9.00 malam) di stesen TV3.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments