Teater Kota Kelip-Kelip Arahan Fazleena Hishamuddin

Teach For The Needs (TFTN) bakal mempersembahkan sebuah teater bertajuk “Kota Kelip-Kelip” yang akan dilakonkan oleh 10 anak dari 4 buah rumah anak yatim TFTN di seluruh Negara.

Anak-anak berbakat ini adalah anak miskin dan yatim yang akan dilatih menerusi siri bengkel oleh Fazleena Hishamuddin, aktivis teater yang juga pengarah kepada persembahan ini.

Teater “Kota Kelip-kelip” akan berlangsung selama dua malam berturut-turut pada 13 dan 14 Jun 2015, jam 8.00 malam bertempat di Damansara Performing Arts Centre (DPAC), Petaling Jaya.

Tiket boleh didapati dari RM28, RM58 dan RM98, terhad hanya kepada 240 tempat duduk. Tempahan tiket boleh dibuat dengan Whatsapp wakil #projekteaterTFTN, saudari Humaira di 0165764453.

Kota Kelip-Kelip Poster

Projek Teater TFTN ini dibawakan oleh Akademi Seni TFTN dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor.

Untuk makluman lanjut, hubungi Koordinator TFTN, saudara Ben (0133276014) atau saudari Raihan (0172332570).

Sinopsis Kota Kelip-Kelip

Kota Kelip-Kelip mengisahkan tentang 2 orang sahabat (Saufy & Azam) yang pernah tinggal di sebuah Rumah anak yatim yang dikenali sebagai Rumah Seri Muda.

Mereka bertemu dan mengimbau kembali kehidupan serta kenangan yang tidak dapat mereka lupakan ketika berada di rumah tersebut.

Rumah Seri Muda merupakan sebuah penginapan ajaib di mana anak-anak yang tinggal di dalam rumah tersebut tidak akan menjadi dewasa dan akan kekal menjadi kanak-kanak.

Tiada peraturan tertentu yang dikenakan, mereka bebas bermain siang dan malam; Rumah Seri Muda umpama syurga kepada mereka semua.

Setiap hari mereka akan bermain aktiviti ‘drama’ dan melakonkan watak-watak dari buku-buku yang ada di rumah itu.

Apai selaku ketua rumah, akanmenentukan cerita apa yang akan mereka lakonkan. Sebagai seorang ketua, Apai seolah menjadi pelindung dan dihormati serta digeruni oleh anak-anak di rumah itu.

Satu hari, salah seorang dari mereka merasakan bahawa drama-drama yangmereka lakonkan itu tidak lagi menghairahkan dan menyeronokkan.

Sebuah skrip drama baru dicipta oleh Apai untuk mereka lakonkan. Namun, tercetus konflik dan perdebatan antara mereka.

Apakah konflik yang terjadi di antara mereka? Apakah keajaiban Rumah Seri Muda sudah berakhir? Bagaimana agaknya kesudahan nasib anak-anak ini? Saksikan semuanya dalam pementasan Kota Kelip-Kelip.

Teach For The Needs (TFTN)

Teach For The Needs TFTN ditubuhkan pada 1 Mac 2013 sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaanyang mengumpulkan sukarelawan untuk mengajar murid-murid miskin, tercicir dan anak-anak yatim di lokasi terpilih di seluruh negara

TFTN berpendirian bahawa peluang pendidikan harus diberi sama rata kepada semua anak-anak tanpa mengira kadar kemampuan mereka.

Oleh itu, TFTN mencari anak-anak yang kurang berkemampuan ini dan diberikan bimbingan dan bantuan secara percuma dengan menggembleng tenaga sukarelawan yang sudi menyumbangkan tenaga.

Para sukarelawan TFTN adalah terdiri dari sukarelawan mengajar dan bukan mengajar. Sukarelawan mengajar akan turun mengajar manakala sukarelawan bukan mengajar memberi sokongan strategik kepada TFTN seperti pengurusan, operasi, pengumpulan dana, kempen dan pengendalian aktiviti-aktiviti sampingan yang dijalankan dari semasa ke semasa.

Kelas dijalankan setiap hujung minggu oleh para sukarelawan yang mengendalikan kelas selama dua hingga tiga jam dalam kumpulan kecil.

Selain itu aktiviti sampingan seperti lawatan, hari terbuka, berkelah, ceramah, kursus dan bengkel; persembahan teater dan pertandingan melukis juga dijalankan sebagai cara untuk meningkatkan potensi anak-anak ini.

Aktivis Teater Fazleena Hishamuddin

Biodata Pengarah – Fazleena Hishamuddin

Fazleena Hishamuddin dilahirkan pada 13 November 1979 merupakan pemegang Sarjana Muda Sastera (major Kesusasteraan Melayu) dan Sarjana Psikologi Kaunseling dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pernah bertugas sebagai Kaunselor selama dua tahun dan kemudian bekerja di beberapa buah agensi pengiklanan dan produksi sebagai produser, pengarah, penulis skrip dan kerja-kerja belakang tabir.

Telah berlakon berpuluh-puluh filem pendek untuktujuan ke festival dalam dan luar negara.

Fazleena juga turut menghasilkan filem pendek beliau sendiri yang pernah memenangi Anugerah Skrip Terbaik Kategori Eksperimental di Festival Filem Pendek anjuran RTM/Finas pada 2007 dan Anugerah Khas Juri untuk filem pendek Komunikasi yang Hilang pada Anugerah Karyawan Muda 2009.

Bergiat aktif dalam dunia teater sejak 2003 sebagai pelakon; antara teater yang pernah dibintanginya ialah Hegemoni, Merocok-rocok, Teater Juta-Juta, Satu Plastik Hitam, Kawan-Kawan yang kita Suka, Neo-Romantik, Gadis dan Dua Menara, Maduku Kalut dan banyak lagi.

Anugerah dalam bidang lakonan yang pernah dimenangi ialah Anugerah Pelakon Harapan Terbaik Festival Antara Universiti 2004, serta Pelakon Wanita Terbaik Creative Visual Awards 2012 melalui filem pendek PSP. Muncul sebagai pelakon utama dalam Feature Film Indie berjudul Kontradiksi yang pernah ditayangkan di Festival Filem Luang Prabang, Laos.

Fazleena & The Lasykar

Penulis buku puisi Seksi Ovari yang telah mencipta sejarah penerbitan alternatif dengan 8 cetakan dalam tempoh setahun, kini aktif berlagu puisi di pentas-pentas seni puisi bersama rakan-rakan baiknya melalui ‘Fazleena & The Lasykar‘ di sekitar ibu kota, dan masih meneruskan minatnya berlakon teater, filem pendek dan menulis skrip iklan dan program tv. Bibir Ceri Melati adalah buku kedua beliau yang merangkumi cerpen dan puisi.

Kota Kelip-Kelip merupakan teater berdurasi panjang arahan beliau yang pertama.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments