Eirma Fatima dan Umie Aida Berperang?

Siapa menyangka hubungan baik adik beradik antara sutradara Eirma Fatima dan adiknya Datin Paduka Umie Aida dalam diam berantakan.

Memang diakui kedua-duanya berbakat besar dalam industri seni namun apa yang menjadi punca kepada keadaan tersebut bukan iri hati dengan bakat masing-masing tetapi kerana persaingan dan usaha mereka dalam memasarkan produk kecantikan masing-masing.

Namun itu bukan realiti kerana perang mereka hanyalah di dalam drama rantaian terbaharu TV3 yang bakal bermula 29 Julai setiap Rabu dan Khamis jam 9.00 malam berjudul Mak Cun.

Drama Lestary - Mak Cun

Sinopsis Drama Mak Cun

Drama ini mengisahkan Mak Cun (Eirma Fatima) seorang wanita kampung yang mempunyai semangat keusahawanan yang tinggi dalam mengembangkan perniagaan bedak sejuknya.

Ternyata produk kebanggaannya itu mendapat permintaan yang tinggi bukan sahaja di Kodiang malah serata Malaysia dan menjadi bualan hangat tentang keberkesanannya.

Mak Cun dibantu anaknya Atul (Balkisyh Semundur Khan) dan dua orang pekerja selain sentiasa mendapat perhatian istimewa Pak Akob (Datuk Rahim Razali).

Namun perniagaan Mak Cun bakal disangkal Manisa (Umie Aida) seorang janda kaya yang baru sahaja berpindah ke kampung tersebut dan mecemburui kejayaan dan populariti Mak Cun.

Bagi Manisa, perniagaan bedak sejuk Mak Cun adalah persaingan terdekat kepada perniagaan suntikan kolagen miliknya. Lebih membuatkan Manisa sakit hati ialah perasaannya terhadap Pak Akob ditolak mentah-mentah kerana hanya berminat pada Mak Cun.

Manisa yang memang gemar bersuamikan orang yang lebih tua, bakal merampas cinta Pak Akob dan memusnahkan reputasi Mak Cun.

Sebermula, Manisa menyebarkan fitnah bahawa bedak sejuk Mak Cun merosakkan kulit dan perniagaan Mak Cun jatuh merudum. Malah pegawai kementerian turut merampas produk Mak Cun kerana gagal mencapai piawaian yang dikehendaki. Lantas Mak Cun menjadi murung dan bersedih.

Atul menelefon adiknya Halimatun (Nora Danish) untuk memujuk ibunya. Halimatun pada mulanya turut memarahi ibunya kerana benar juga bahawa perniagaan ibunya tidak diusahakan secara sistematik.

Namun Halimatun cuba mengubat hati Mak Cun dengan membawanya ke Kuala Lumpur untuk menyertai kursus selok belok perniagaan. Mak Cun nekad untuk membawa perniagaannya untuk pergi jauh dan Mak Cun bakal tampil dengan imej baru.

Manisa masih tidak puas dengan kejatuhan Mak Cun dan banyak lagi onar yang bakal dia usahakan. Namun dalam mereka bermusuh, anak perempuan Mak Cun, Atul bakal bercinta dengan anak Manisa, Kamarul (Azwan Kombos).

Bolehkah Atul dan Kamarul disatukan? Berjayakah Mak Cun mengembangkan produk bedak sejuknya dan membuktikan bahawa dia tidak bersalah kepada penduduk kampung? Apa lagi yang bakal Manisa lakukan untuk terus menjatuhkan Mak Cun? Terleraikah nanti sengketa Manisa dan Mak Cun?

Poster Mak Cun

Saksikan Mak Cun setiap hari Rabu dan Khamis jam 9.00 malam mulai 29 Julai ini hanya di TV3.

Para penonton boleh melayari laman sesawang TV3 di www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments