Ke Indonesia Ke Kita?

Sekali lagi ‘rockstar’ dan ikon fesyen dipertemukan dalam sekuel Ke Korea Ke Kita? (KKKK?).

Tahun lalu, rancangan travelog dan permainan realiti TV9, KKKK? membawa Myo dan Wok Doyok menjelajah Korea sambil berkongsi pengalaman mereka secara spontan.

Bakal bersiaran bermula 28 Julai ini setiap hari Selasa jam 9.00 malam, sekali lagi duo ini dipertemukan dalam lokasi seterusnya di negara Indonesia lantas Ke Indonesia Ke Kita? menjadi judul rancangan itu kali ini.

Ke Indonesia Ke Kita

Ke Indonesia Ke Kita?

Walaupun idea percutian atau berlibur adalah untuk mencari masa untuk berehat dari kesibukan kota namun rancangan Ke Indonesia ke Kita? (KIKK?) tidak akan menjadikan dua pengacaranya, Myo (Oh Chentaku) dan Wak Doyok bersantai sewenang-wenangnya.

Selain diberikan tugas untuk berkongsi dengan para penonton keunikan jelajah mereka ke Indonesia, mereka bakal diberikan cabaran ‘gila-gila’ agar percutian mereka lebih bermakna dan anda selaku penonton terhibur dengan gelagat.

Ternyata format segar rancangan ini mendapat sambutan hebat kerana keunikan produksi ini yang tidak menggunakan sebarang skrip dan memerlukan aksi spontan Myo dan Wak Doyok memberi pendekatan yang bersahaja dan lebih mudah diterima para penonton.

Di Korea, Myo boleh dikatakan serba-serbi mendahului Wak Doyok dalam cabaran yang diberikan. Namun mampukah Myo mengekalkan prestasi kerana Wak kini bagaikan sirih yang pulang ke gagang.

Berketurunan Jawa, Wak Doyok pasti memiliki lebih kelebihan berbanding Myo di Indonesia atau Wak Doyok hilang sentuhan Jawanya tatkala asyik dengan berfesyen di Malaysia.

Penggambaran yang mengambil masa hampir sebulan itu akan membawakan para penonton ke tarikan utama negara Indonesia seperti di Lombok, Surabaya, Yogyakarta, Bandung, Jakarta, Bali dan banyak lagi.

Istimewa kali ini, rancangan terbitan TV9, Ke Indonesia Ke Kita? (KIKK?) telah bekerjasama dengan Airbnb sebuah syarikat pasaran komuniti yang dipercayai untuk orang ramai menyenaraikan, mencari, dan menempah penginapan yang unik di seluruh dunia dalam Peraduan Jom Bali yang membolehkan dua peserta terpilih menyertai pasukan Myo atau Wak Doyok ke Indonesia dalam episod akhir mereka di lokasi terakhir produksi itu di Bali.

Kini dua pemenang itu telah pun dikenal pasti. Mereka adalah Zahir Ariffin yang akan bersama ‘Team Wak’ dan Hanif Naziri untuk ‘Team Myo’

Saksikan rancangan perjalanan Myo dan Wak Doyok yang memiliki dua personaliti berbeza. Ibarat langit dan bumi si sempoi Myo dan si stailo Wak Doyok terpaksa meneruskan percutian mereka bersama dan seberat mana agaknya bagasi Wak kali ini?

Nantikan Ke Indonesia Ke Kita? (KIKK?) yang bakal menemui para penonton pada 28 Julai 2015 setiap Selasa jam 9.00 malam eksklusif di TV9.

KIKK? merupakan produksi Primeworks Studios diterajui penerbit Khairul Adzweri Rosle yang tutut bertindak selaku pengarah rancangan ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments