Kampung Gua Hebat Dibanjiri 30,000 Warga Johor!

Peraduan Kampung Gua Hebat yang dianjurkan menerusi aplikasi Syukur Selalu dimenangi oleh negeri Johor!

Peraduan yang juga merupakan salah satu ciri di dalam aplikasi itu menggalakkan rakyat Malaysia untuk memuat naik foto sebanyak mungkin sambil meletakkan lokasi negeri kampung mereka bagi memenangi kunjungan rumah terbuka anjuran stesen TV3 & TV9.

Warga negeri Johor telah memuat naik sebanyak 3680 foto ke dalam aplikasi tersebut untuk melayakkan negeri mereka menerima kunjungan rumah terbuka istimewa ini. Jumlah foto itu sekaligus meninggalkan negeri Kedah dengan 2505 keping foto dan Kelantan dengan penyertaan 1286 foto.

Secara keseluruhan, rakyat Malaysia telah memuat naik sejumlah 10,555 foto ke dalam aplikasi tersebut.

Acara yang dinamakan Rumah Terbuka Aidilfitri Kampung Gua Hebat TV3 & TV9 telah dilangsungkan di Dewan Serbaguna, Kampung Sarang Buaya, Muar dari jam 1.00 petang itu telah dibanjiri seramai lebih 30,000 pengunjung sehingga jam 6.00 petang.

Kampung Gua Hebat

Selain pelbagai juadah yang disediakan untuk para tetamu, acara itu juga dihadiri pihak pengurusan kanan Media Prima Berhad,Tan Sri Johan Jaaffar, Pengerusi Media Prima Berhad, Encik Seelan Paul, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, dan Puan Siti Nurlisia, Pengurus Besar, Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9.

Acara itu turut diserikan dengan tetamu kehormat, YB Dato’ Razali bin Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Muar. Memeriahkan lagi majlis hari itu adalah personaliti TV3 dan TV9 serta barisan selebriti Malaysia.

Rumah Terbuka ini juga mendapat kerjasama daripada Pusat Khidmat Parlimen Muar.

Barisan selebriti yang sempat meluangkan masa pada hujung minggu itu ialah Hafreez Adam, Najwa Latif, Mia Ahmad, Syazwan Zulkifli, Adibah Yunus, Azwan Kombos, Zahirah Macwilson, Anas Ridzwan, Nadzmi Adhwa, Ika Nabila, Isey Fazlisham, Harris Alif dan ZiaBella.

Manakala antara personaliti TV3 dan TV9 yang hadir ialah Maria Tunku Sabri, Ally Iskandar, Teh Syuhaida, Irin Putri Azmi, Ezreena Amir Hamzah dan Amin Hayat.

Tidak ketinggalan adalah persembahan pentas oleh penyanyi terkenal seperti duta Syukur Selalu, Kaka Azraff, Najwa Latif dan Harris Alif.

Para pengunjung juga boleh menyertai beberapa pertandingan yang bakal diadakan sepanjang majlis itu berlangsung. Antaranya ialah pertandingan karaoke, cabutan bertuah dan pakaian raya tercantik.

Acara rumah terbuka ini merupakan majlis penutup buat kempen Syukur Selalu yang dianjurkan Media Prima Berhad sempena bulan Ramadan dan Syawal pada tahun 2015.

Kempen Syukur Selalu ini juga mendapat respon yang memberangsangkan menerusi laman sosial apabila sebanyak 2,488,877 retweet mengenai syukur selalu membanjiri Twitter menjelang malam raya pada 16 Julai yang lalu.

Dan sehingga kini lebih 180,000 gambar dengan hastag #syukurselalu boleh dilihat menerusi instagram. Jumlah ini diramalkan bakal meningkat dari semasa ke semasa kerana hastag yang mesra pengguna dan dekat di hati rakyat Malaysia.

Aplikasi Syukur Selalu juga tersenarai sebagai aplikasi Top 12 untuk kategori gaya hidup untuk pengguna Android.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments