Inisiatif #PULIHKANHARAPAN Diteruskan Oleh TV9

Banjir besar 2014 menyaksikan bukan sahaja penduduk kehilangan harta dan rumahtangga, malah sebahagian kegembiraan kanak-kanak turut disentap apabila kawasan permainan mereka ditenggelami dan dirosakkan arus deras.

Malangnya, dalam perancangan membina semula perkampungan dan perumahan penduduk, taman permainan kanak-kanak jarang sekali menduduki senarai keutamaan awal.

Malah, sehingga hujung tahun ini, ketika musim hujan sekali lagi hampir tiba, masih ramai penduduk yang belum menyelesaikan masalah tempat tinggal mereka, apatah lagi memastikan anak-anak mempunyai tempat riadah yang sesuai.

Menyedari keperluan itu, Jabatan Berita dan Hal-Ehwal Semasa Media Prima menerusi satu daripada stesennya, TV9. mengambil inisiatif membawa keceriaan kepada kanak-kanak di sekitar Bandar Kuala Krai.

Inisiatif #PULIHKANHARAPAN Diteruskan Oleh TV9

Pada 10 Oktober 2015, TV9 akan menyerahkan kelengkapan taman permainan bernilai dalam lingkungan RM50,000 hasil daripada sumbangan masyarakat kepada Tabung Bencana NSTP – Media Prima. Kelengkapan taman permainan ini diserahkan kepada Majlis Daerah Kuala Krai untuk kanak-kanak di sekitar Bandar itu.

Menurut Ketua Pengarang Berita TV9, Wan Sabariah Shikh Ali, kelengkapan baru itu menggantikan kemudahan taman permainan di Dataran Taman Cintawangsa, Kuala Krai, yang turut rosak ketika banjir besar. Peralatan yang disumbangkan ialah satu set permainan induk, buaian, kuda spring dan jongkang jongket.

“Ini adalah sebahagian daripada inisiatif Pulihkan Harapan, iaitu siri laporan khas yang dimulakan oleh Berita TV9 mulai Mac lalu bagi memaparkan kehidupan rakyat yang terbabit dalam banjir besar. Bencana itu telah mengubah wajah fizikal perkampungan mereka dan memberi kesan besar kepada kehidupan beratus-ratus ribu penduduk dari segi fizikal dan emosi.

Siri ini memaparkan lebih 30 laporan khas mengenai mangsa banjir di Negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak dari Mac hingga September yang disiarkan menerusi Berita Jam 12 dan Berita Jam 8 malam di TV9″

Laporan berkenaan mendapat sambutan memberangsangkan dari penonton TV9 dan pengunjung media sosial stesen itu.

Peralatan taman permainan itu dibiayai menerusi Tabung Bencana NSTP – Media Prima yang turut membantu membekalkan keperluan asas kepada beribu-ribu penduduk sejak banjir melanda pada Disember lalu.

Sejak beberapa minggu lalu, kanak-kanak di sekitar Bandar Kuala Krai menyaksikan dengan penuh minat pekerja syarikat kontraktor memasang peralatan riadah untuk mereka.

Taman permainan baharu itu diserahkan kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Krai, Haji Tengku Azmi Tengku Jaafar pada satu majlis di sini.

Turut hadir ahli-ahli Briged Sukarelawan Media Prima – NSTP yang sebelum ini telah menjalankan aktiviti bergotong-royong mengecat dan memperbaiki kemudahan taman permainan sedia ada yang masih boleh digunakan. Turut serta ialah kanak-kanak dari tadika di sekitar Kuala Krai.

Majlis itu disiarkan secara langsung menerusi lintas langsung dalam program Nasi Lemak Kopi O pada jam 9.45 pagi dan Berita Jam 12 tengah hari bersama wartawan TV9 yang mengendalikan segmen Pulihkan Harapan, Aminhayat Abdul Rahim. Ketika berada di sini, Aminhayat bersama jurukamera Bakhtiar Binyamin akan turut membuat tinjauan di kawasan yang pernah dipaparkan menerusi segmen itu.

Tabung Bencana NSTP – Media Prima telah ditubuhkan untuk membantu masyarakat yang ditimpa malang bencana alam. Semasa banjir melanda Media Prima telah menghulurkan bantuan segera kepada masyarakat Kuala Krai dalam bentuk makanan dan kit kebersihan.

Beberapa ceramah motivasi untuk kembali meneruskan kehidupan selepas kecelakaan juga turut dianjurkan sementara perigi ‘tube’ dipasang bagi memastikan bekalan air yang baik dapat disediakan untuk mangsa-mangsa banjir. Buku-buku sekolah juga turut didermakan kepada banyak sekolah agar murid-murid dapat meneruskan pembelajaran mereka disamping usaha membaikpulih masjid-masjid yang rosak akibat banjir.

Bagi pihak Media Prima juga, Wan Sabariah mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang telah memberi sumbangan ikhlas kepada Tabung Bencana NSTP – Media Prima. Sumbangan dari Tabung tersebut, dipantau oleh Lembaga Amanah khas, disalurkan untuk kerja-kerja bantuan banjir dan usaha membaikpulih di serata negara.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments