Festival AJL30 di Klebang, Melaka

Sambutan tahun 2016 di Bandaraya Melaka Bersejarah kali ini pastinya lebih meriah dengan penganjuran FESTIVAL AJL30 yang dianjurkan julung kalinya oleh TV3 bagi berkongsi apresiasi muzik dan lagu-lagu yang pernah dipertandingkan di Anugerah Juara Lagu.

Festival AJL30 itu diadakan di Dataran 1 Malaysia, Pantai Klebang, Melaka sebagai tanda penghargaan kepada para peminat setia yang telah bersama dan membesar bersama rancangan Muzik Muzik dan Anugerah Juara Lagu.

Malah itu merupakan hadiah acara tapak pertama buat tahun ini sebagai pembuka tirai 2016 oleh stesen no.1 negara, TV3.

Anugerah Juara Lagu 30
Festival AJL30 itu bermula 2.00 petang dan dijangka bakal berakhir pada 12.00 tengah malam dengan membawakan ramai artis terkenal untuk memberi peluang kepada warga setempat bertemu secara dekat dengan mereka.

Festival AJL30 yang mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu adalah bersempena sambutan tiga dekad acara berprestij Anugerah Juara Lagu 30 yang bakal berlangsung lagi 2 minggu sahaja lagi pada hari Ahad, 24 Januari 2016 jam 9.00 malam dipancarkan oleh Pamoga Qu Puteh secara langsung dari Stadium Malawati, Shah Alam.

Acara promosi terbesar ini juga bersesuaian dengan tagline AJL30 iaitu ‘3 Dekad Mencipta Fenomena’ selain mengangkat tema kegemilangan dan kemeriahan 30 tahun AJL.

Lebih menarik, festival itu akan membawa ramai penyanyi terkenal yang juga menggamit kenangan sepanjang 3 dekad AJL berlangsung menerusi konsert Festival AJL30 yang juga bersiaran secara langsung di TV3 tepat jam 9.00 malam menampilkan Rahmat Mega (Takdir dan Waktu, Juara Lagu 1991), Nash Lefthanded (Pada Syurga Di Wajahmu, Juara Lagu 1992), dan Noraniza Idris pejuang irama tradisional Melayu yang sering menjadi tumpuan dengan persembahan menarik yang sentiasa menjadi salah satu detik yang paling diingati di pentas AJL.

Tidak ketinggalan ialah beberapa finalis AJL30 yang juga bakal menggamatkan Konsert Festival AJL30 iaitu Kaka Azraff, Dayang Nurfaizah, Drama Band dan Bunkface. Kemeriahan konsert ini akan digamatkan lagi dengan keletah pengacara AJL30, AG dan Fara Fauzana.

Orang ramai juga diingatkan untuk mengundi lagu-lagu kegemaran mereka yang pernah memenangi AJL dari tahun 1986 hingga 2014 (AJL1-AJL29) di laman rasmi www.anugerahjuaralagu.com di mana juara lagu kegemaran mereka berpeluang memenangi dan dinobatkan dengan Anugerah Qu Puteh Diva.

Konsert Festival AJL30, selain bersiaran langsung di TV3, acara itu juga boleh ditonton secara LIVE dan global dalam definisi tinggi (HD) pada 9 Januari 2016, Sabtu, dari jam 9.00 malam hingga 11.00 malam di www.tonton.com.my

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments