Peserta Kilauan Emas Otai Pilihan Penonton

Kilauan Emas akan kembali menemui peminatnya dengan edisi istimewa, ‘Kilauan Emas Otai’ yang akan bersiaran pada setiap hari Rabu mulai 9 Mac ini pada jam 9.00 malam di Astro Prima (saluran 105) dan Maya HD (saluran 135).

Kilauan Emas Otai akan menyaksikan 12 bintang kelahiran program Kilauan Emas berentap selama tujuh minggu dalam usaha merebut takhta otai terhebat di kalangan yang terhebat.

Kilauan Emas Otai Logo

Para peserta adalah terdiri daripada lima orang Juara Kilauan Emas musim pertama hingga kelima dan tujuh lagi kekosongan akan diisi oleh bintang Kilauan Emas yang telah berjaya melayakkan diri sehingga ke peringkat separuh akhir pada musim-musim yang sebelumnya.

Menariknya lagi, tujuh tempat kosong ini akan ditentukan menerusi proses undian dan mandat tersebut diberikan sepenuhnya kepada para peminat.

Undian dibuka mulai 26 Januari 2016 jam 6.00 petang sehingga 14 Februari 2016 jam 11.59 malam menerusi portal rasmi www.kilauanemas.com.my.

Lima orang Juara yang akan diserap secara automatik ke dalam program Kilauan Emas Otai adalah Ali (KE 1), Fuad (KE 2), Meor (KE 3), Arip (KE 4) dan Mustar (KE 5).

Manakala seramai 20 orang bintang Kilauan Emas dari musim pertama hingga kelima yang telah berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir adalah tercalon untuk mengisi tujuh tempat kekosongan peserta Kilauan Emas Otai.

Dalam memastikan Kilauan Emas Otai ini sehebat nama diberi, tugasan mingguan yang diberi kepada setiap peserta adalah lebih mencabar dan bakal menguji keupayaan vokal masing-masing.

Peserta akan dibimbing oleh barisan tenaga pengajar yang terdiri dari kalangan mereka yang cukup sinonim dalam industri seni tanah air dan ianya akan diumumkan di majlis sidang akhbar kelak.

Juara Kilauan Emas Otai akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM 150,000.00 beserta trofi. Naib juara pula akan membawa pulang wang tunai RM 50,000.00 beserta trofi dan pemenang tempat ketiga akan membawa pulang wang tunai RM 30,000.00 beserta trofi.

Manakala, hadiah wang tunai RM 10,000.00 beserta trofi akan ditawarkan buat pemenang tempat keempat. Peserta juga berpeluang mengggondol hadiah wang tunai sebanyak RM 10,000.00 untuk pemenang kategori Anugerah Khas Juri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments