Slot Iris TV3 – Ahli Mesyuarat Tingkap

Ahli Mesyuarat Tingkap
Drama bersiri terbaharu TV3 mengisi slot Iris, Ahli Mesyuarat Tingkap yang bakal bersiaran mulai 23 Mac ini, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 6.30 petang.

Gandingan tiga pelakon utama – Rita Rudaini, Izreen Azminda dan Sherry Al-Hadad – bakal membuatkan para penonton tidak kering gusi sambil tersengih hingga ke telinga.

Buah tangan hasil produksi JS Pictures ini pastinya tidak mengecewakan dengan rata-rata drama 13 episod ini sentiasa kaya dengan babak mencuit hati.

Sinopsis Drama Ahli Mesyuarat Tingkap

Ahli Mesyuarat Tingkap mengisahkan tiga orang rakan baik yang saling mengenali di bangku sekolah menengah lagi. Setelah dewasa dan berkerjaya mereka cuba menganjurkan majlis pertemuan semula yang digelar ‘Reunion of The Year’ untuk rakan-rakan sekolah mereka.

Mereka menggelarkan kumpulan mereka sebagai Ahli Mesyuarat Tingkap.

Mana tidaknya, bukan sahaja pasal pencarian teman-teman lama mereka dibincangkan malah bahan gosip juga tidak kurang menjadi perhatian tiga sahabat wanita ini. Apa sahaja yang terlintas di hati mereka ada sahaja yang ingin dibualkan.

Jika para penonton merasakan mereka ini keterlaluan, maksudnya itulah syarat wajib untuk menyertai Ahli Mesyuarat Tingkap kerana tagline mereka sendiri ialah ‘Tak Over, Tak Sah’. Makanya sah-sahlah mereka bertiga ini over.

Lebih kelakar apabila setiap daripada mereka mempunyai kerenah masing-masing. Zaiti atau dipanggil Zai (Rita Rudaini) oleh rakan-rakannya merupakan peminat no.1 drama Melayu. Paling diminati Zai ialah hero slot Akasia, Saharul Ridzwan.

Dia bercita-cita untuk berkahwin dengan hero kesayangannya itu. Malah apa sahaja majalah, poster atau surat khabar yang meletakkan gambar aktor itu, pasti Zai akan mendapatkannya.

Namun sifat fanatiknya itu juga selalu merisaukan rakan-rakannya yang lain. Apatah lagi, para penonton akan melihat Zai memberi amaran kepada aktres pujaan ramai Mia Ahmad dalam episod awal drama ini nanti.

Ju (Izreen Azminda) pula seorang yang suka berterus terang dengan pendapatnya. Ju memiliki perniagaan butiknya yang tersendiri.

Namun dia tidak suka dengan ‘trend’ selebriti Malaysia yang asyik menjual tudung. Baginya mereka tidak kreatif dan memberi persaingan kepada perniagaannya.

Manakala Ira (Sherry Al-Hadad) adalah pakar pastri dan manisan. Malah dialah pembekal kek di kedai Datin Bobo (Kuna) di mana mereka sering menghabiskan masa bersama. Namun itu bukan satu sahaja sebab mereka ke sana. Sebab lain ialah Ju dan Ira telah jatuh hati dengan anak Datin Bobo, Azmel (Azrel Ismail).

Di dalam setiap episod, ada sahaja misi Zai, Ju dan Ira selain cuba mengumpulkan teman-teman mereka yang lain untuk majlis pertemuan semula mereka.

Bukan itu sahaja, penonton juga bakal melihat beberapa penampilan istimewa pelakon terkenal seperti Mia Ahmad, Fizz Fairuz, Idris Khan dan ramai lagi kejutan khas. Sukakan cerita-cerita yang seronok dan mencuit hati? Sertai Ahli Mesyuarat Tingkap setiap hari Isnin hingga Khamis, 6.30 petang eksklusif di TV3.

Untuk maklumat lanjut anda boleh melayari laman web www.tv3.com.my dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia. Terlepas peluang menyaksikan drama ini? Saksikan semula di portal Tonton di www.tonton.com.my

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments