Lentera Muzik Noraniza Idris Masyhur 30 Tahun

Konsert Lentera Muzik Noraniza Idris Masyhur 30 Tahun bakal ditayangkan selama satu jam setengah diterbitkan oleh Unit Hiburan TV Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd.

Konsert ini akan mengimbau semula perjalanan awal kerjaya seni Noraniza Idris serta jatuh bangunnya dalam memartabatkan serta memperjuangkan irama Etnik Kreatif Tradisional sehingga dia diangkat serta diiktiraf sebagai Ratu Etnik Kreatif atau Ratu Irama Tradisional.

Beliau masih lagi tidak putus semangat dalam usahanya mengangkat Irama Tradisional ke peringkat yang lebih tinggi serta meneruskan kelangsungan seni warisan budaya seni agar ia dapat dihargai golongan generasi muda serta dapat dijadikan sebagai paksi jati diri mereka.

Lentera Muzik Noraniza Idris Masyhur 30 Tahun

Sebagai seorang penghibur sejati yang mementingkan sebuah persembahan berkualiti serta mempunyai nilai estetika yang tinggi, Noraniza Idris pasti akan memberikan sesuatu kejutan baru dalam setiap persembahannya.

Tidak terkecuali Konsert Lentera Muzik Noraniza Idris Masyhur 30 tahun yang bakal menjadi episod pertama yang mengisi slot hiburan Lentera Muzika RTM musim baharu inui.

Menarik mengenai konsert ini, ia akan dibahagikan dalam 4 segmen beserta Overture (pembukaan) dan Encore (Penutup).

Untuk pembukaan konsert ini, Noraniza Idris akan menampilkan suatu kelainan yang mana beliau akan menggabungkan enam lagu etnik dan himpunan lagu rakyat fusion berkonsepkan transformasi budaya para dance etnik vs street dance yang berkonsep battle diiringi penyanyi latar.

Ia suatu persembahan yang wajib untuk ditonton kerana persembahan ini membuktikan keterbukaan Noraniza Idris untuk mengadaptasi budaya semasa yang menjadi kegilaan anak-anak muda di dalam persembahan muzik etniknya.

Dalam konsert ini juga, Noraniza Idris bukan sahaja akan membawa khalayak penonton mengimbau semula perjalanan selama 30 tahun di dalam industri muzik tanah air menerusi lagu-lagu yang menjadi titik-tolak di awal permulaan kerjaya seninya, tetapi juga dia akan turut memperkenalkan beberapa lagu barunya yang dihasilkan bersama dua penyanyi yang juga komposer baru muda berbakat iaitu Ihab Ismail dan L’zzay.

Pada masa yang sama, dia tetap akan menampilkan beberapa lagu etnik peribumi yang berjaya membawa nama Malaysia ke mata dunia serta beberapa lagu-lagu etnik hits popularnya yang diminati ramai serta sering dibawakan pelbagai kumpulan kebudayaan di serata Malaysia.

Untuk encore konsert persembahannya pula, Noraniza Idris akan membawakan lagu masterpiecenya, Hatinya Tak Tahan yang pastinya dinanti-nantikan oleh semua.

Menariknya, Noraniza turut mengundang 8 orang penari Artis Budaya Noraniza Idris yang pernah berkhidmat dengannya sepanjang penglibatan dalam Anugerah Juara Lagu bermula daripada tahun 1997 sehingga 2005.

Konsert Lentera Muzik Noraniza Idris Masyhur 30 tahun ini akan dirakamkan untuk siaran tertunda pada 5 April 2016 dan akan disiarkan pada 10 April 2016 menerusi saluran TV1, bermula jam 9.30 malam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments