Tema Rock Cabar 7 Peserta Ceria Popstar 2016

Tema Rock Cabar 7 Peserta Ceria Popstar 2016
Saingan program realiti nyanyian kanak-kanak paling popular di Malaysia, Ceria Popstar semakin sengit apabila 7 peserta yang tinggal semakin menunjukkan kehebatan masing-masing.

Setelah konsert lepas menyaksikan penyingkiran Dalili dari Kuala Lumpur, kesemua peserta yang tinggal minggu ini diuji dengan tema ‘Rock’, di mana mereka dikehendaki membawakan lagu-lagu rock popular dengan cara mereka yang tersendiri.

Beraksi cemerlang di dua konsert sebelum ini, adakah tema kali ini bakal mencabar vokal dan kemampuan Hazmil, peserta dari Sarawak yang terkenal dengan kebolehan menyanyikan lagu-lagu Melayu asli.

Mampukah anak kecil ini memberikan persembahan yang meyakinkan? Adakah pendahulu awal, Eylia dapat mengembalikan keyakinan para juri setelah gagal menyerlah di konsert yang lalu?

Berjayakah Aniq menggunakan kelebihannya yang meminati muzik rock untuk memukau para juri dan penonton?

Sama-sama kita saksikan Konsert Keempat Ceria Popstar yang akan disiarkan Jumaat ini, 22 April 2016, bermula jam 9 malam di tiga saluran iaitu Astro Ceria, Saluran 611 , Astro Maya HD, Saluran 135 dan Astro Prima, saluran 105.

Konsert kali ini masih menampilkan Nabil Ahmad selaku pengacara manakala personaliti TV terkenal, Raja Azura dijemput menjadi juri undangan bagi menilai persembahan setiap peserta yang bertanding di samping juri tetap, Datuk Siti Nurhaliza dan Awie.

Pengacara tersohor tanahair, Datuk Aznil Haji Nawawi bertindak selaku penaung dan ‘father-figure’ kepada program ini.

Juara Ceria Popstar 2016 bakal membawa pulang hadiah berbentuk wang tunai sebanyak RM 20,000.00 beserta trofi sumbangan Astro. Naib juara pula bakal memenangi wang tunai sebanyak RM 15,000.00 beserta trofi.

Tempat ketiga bakal meraih wang tunai RM 10,000.00 dan juga trofi. Format penjurian konsert Ceria Popstar ini menggunakan format 100 % penilaian daripada juri professional.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments