Hey Orang Kita, Karya Istimewa Astro First Eksklusif

Hey Orang Kita di Astro First Eksklusif
Astro First Eksklusif sekali lagi membawakan sebuah karya hebat buat tontonan peminat lakon layar tempatan.

Hey Orang Kita, taruhan terbaru Astro First Eksklusif merupakan sebuah filem televisyen (FTV) muzikal yang memaparkan jerih perih 4 anak muda mengharungi liku-liku kehidupan di kota Kuala Lumpur yang penuh dengan pancaroba.

Diarahkan oleh Zara Kahan, filem ini akan mula ditayangkan di Astro First Eksklusif, saluran 480 mulai 19 Mei ini. Sebelum ini, siri Hey Orang Kita telah pun menemui penonton secara dalam talian menerusi 4 webisodes yang dimuatnaik di FEEFO.TV.





Dibintangi 4 bintang muda yang cukup berbakat, Hey Orang Kita mengangkat tema kehidupan dan bagaimana setiap dari mereka berusaha meloloskan diri dari benteng dan kepompong masalah masing-masing.

Hey Orang Kita menampilkan Raja Syahiran, Talitha Tan, Christian B Palencia dan Takahara Suiko, 4 nama yang tidak asing lagi di laman Youtube mahupun media sosial yang lain.

Selain mempunyai kelompok peminat tersendiri, keempat-empat mereka memiliki keunikan yang lain daripada yang lain, baik dari segi citarasa muzik mahupun personaliti.

Menurut Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Dato’ Khairul Anwar Salleh,

“Hey Orang Kita bukanlah sekadar drama muzikal semata-mata. Ia merupakan sebuah ceritera kehidupan yang berupaya memberikan inspirasi kepada anak-anak muda di luar sana untuk tidak berputus asa dan meneruskan kehidupan walau apa jua terjadi.

Sebagai sebuah syarikat penyiaran, Astro sentiasa mahu membawakan karya yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga berupaya mendidik masyarakat dengan nilai-nilai positif.”

Sinopsis Hey Orang Kita

Dengan tagline , ‘Bila Lagi Nak Lawan Balik’,

Hey Orang Kita mengisahkan kehidupan 4 anak muda, Hassan, Lilian, Hartini dan Clayton yang berhijrah ke Kuala Lumpur dalam usaha keluar dari kancah masalah kehidupan yang mereka hadapi.

Setiap mereka datang daripada latar belakang berbeza tetapi mereka berkongsi banyak persamaan; mereka merupakan sekumpulan anak muda yang bersemangat tinggi, naïf dan mencari siapa diri mereka yang sebenarnya.

Hari demi hari, pelbagai rintangan mereka lalui Daripada konflik keluarga sehinggalah melibatkan diri mereka dalam kancah sosial masyarakat, setiap dugaan yang mereka hadapi ditempuhi dengan tabah.

Vlog di sekitar Majlis Pelancaran Hey Orang Kita yang berlangsung di The Bee, Publika Rabu lalu.

Hey Orang Kita turut menyaksikan penglibatan penyanyi dan komposer terkenal, Loque yang bertanggungjawab menghasilkan serta menggubah lagu-lagu yang akan ditampilkan dalam filem ini.

Antaranya, versi tersendiri lagu dendangan asal Hujan, Pagi Yang Gelap dan Untukmu, lagu malar segar yang pernah dipopularkan kumpulan Feminin. Lebih istimewa lagi, penyanyi terkenal Awi Rafael turut menyumbangkan suaranya dalam lagu runut bunyi filem ini, dengan judul yang sama Hey Orang Kita.

Hey Orang Kita akan mula bersiaran secara eksklusif di Astro First Eksklusif (saluran 480) mulai 19 Mei 2016. Dengan hanya RM15.90 (termasuk GST) untuk sebuah filem, seperti lazimnya para penonton boleh menyaksikan filem ini berulang kali dalam tempoh 48 jam dari waktu pembelian.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments