Hujan London Tour Meraikan #raingersUK

Hujan 10 tahun, shoot SS15 Subang - Hujan London Tour

Selama sepuluh tahun di dalam bidang muzik, HUJAN telah mengeluarkan dua EP dan lima album dan telah membuktikan bahawa band ini telah pergi jauh kerana telah berjaya menguasai dan menarik minat pencinta muzik dari luar negara seperti dari Indonesia, Singapura, Ireland, Britain, Perancis dan juga Australia.

Kumpulan ini juga tidak kurang hebatnya di Eropah terutamanya di United Kingdom. Oleh yang demikian HUJAN bakal menyempurnakan siri jelajah ‘Hujan London Tour’ pada hujung Mei ini untuk meraikan #raingersUK bersempena dengan Ulangtahun ke 10. ‘Hujan London Tour’ ini akan bermula pada :-

  • 24 May – The Macbecth, Hoxton
  • 25 May – The Workshop, Hoxton
  • 28 May – The Urban Bar, Whitechapel
  • 29 May – The Islington, Angel
  • 30 May – Surya, Shoreditch
  • 31 May – Nambucca, Holloway
  • 1 June – The Dingwalls, Camden
  • 2 June – The Dublin Castle, Camden

Dalam usaha mempromosi album terbaru HUJAN, hasil kerjasama antara HUJAN dan Hotlink untuk memberi para peminat akses kepada album terbaru yang merupakan album studio ke-5 mereka yang berjudul “JIKA SEMPAT” telah dijalankan secara eksklusif melalui Spotify bermula 15 April hingga 14 Mei yang lalu.

Dan kini, Warner Music Malaysia dengan berbesar hati melancarkan album terbaru HUJAN yang bertajuk JIKA SEMPAT.

Single terbaru yang sedang dipromosikan bertajuk JIKA SEMPAT yang juga merupakan tajuk bagi album tersebut. Lagu JIKA SEMPAT ini juga telah dilancarkan di seluruh radio Malaysia dan sering menjadi permintaan oleh peminat mereka untuk dimainkan di radio.

Muzik yang dihasilkan menerusi lagu JIKA SEMPAT ini mempunyai kelainannya yang tersendiri. Kiranya, sekali dengar, pendengar sudah boleh ‘tangkap’ melodinya.

Minat dan kesungguhan terhadap muzik juga menjadikan Konsert Ulangtahun ke-10 pada tahun lalu sebagai penanda aras, maka terhasillah album studio ke-5 kumpulan HUJAN berjudul JIKA SEMPAT.

Hujan - Jika Sempat

JIKA SEMPAT merupakan album terbaru HUJAN sejak kali terakhir menghasilkan album pada tahun 2012. Ia merupakan album yang sangat dinanti-nanti kan terutama selepas kejayaan konsert ulangtahun #hujan10tahun pada tahun 2015.

Kumpulan ini telah berkembang dan matang dari segi muzik mereka. JIKA SEMPAT ibarat mengimbau ke akar rock & roll tetapi dengan elemen dan pengaruh muzik moden serta trend semasa.

Terdapat 12 trek untuk album JIKA SEMPAT, bermula dengan lagu pembukaan Pemicu Gila, diikuti oleh Biarkan Saja, sebuah lagu yang bersahaja liriknya. Karaktor Tentangan adalah sebuah cerita tentang ketidakserasian di dalam sesebuah hubungan, kemudian diikuti dengan Papa Mama, sebuah lagu tentang kasih kedua ibu bapa terhadap anak.

Seterusnya lagu, Jika Sempat diikuti dengan Jangan Lupakan Aku, sebuah lagu yang mengimbau kembali zaman muda remaja. Trek ke 7 pula adalah Sendiri diikuti dengan Kamar Sepi dan kemudian Miri, sebuah lagu yang secara tidak langsung mengisahkan keindahan yang menggamit perasaan penulis terhadap kampung halaman.

Aku Janji pula sebuah lagu yang berentakan tempo yang perlahan dan muzik yang ‘mellow’ dan diikuti dengan lagu Berlari Dan Mati, dan lagu terakhir adalah Kau, sebuah lagu tentang rasa kesyukuran dan keinsafan terhadap PenciptaNya.

Album yang diterbitkan oleh HUJAN adalah di bawah Kamar Seni Enterprise ini sudah mula berada di pasaran tempatan dan juga di dalam semua platform digital mulai 20 Mei ini. Kepada peminat muzik tanahair rebutlah peluang untuk memiliki album JIKA SEMPAT samada dalam bentuk cakera padat mahupun album digital edaran Warner Music Malaysia.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments