Oh My English! After School Bermula 31 Julai

Barisan Pelakon Oh My English! After School
Rancangan edutainment paling popular di Malaysia, Oh My English! kembali menemui peminatnya menerusi siri terbaharunya, Oh My English! After School yang bakal bersiaran 31 Julai ini di Astro TVIQ, saluran 610 dan serentak dalam definisi tinggi di Astro Maya HD, saluran 135.

Bakal membawa pembelajaran Bahasa Inggeris ke satu tahap yang lebih tinggi lagi dan dalam situasi yang berbeza, Oh My English! After School kali ini menampilkan barisan pelakon popular yang akan menghiburkan peminat setia siri ini dengan dialog lucu dan keletah bersahaja mereka.

Menampilkan tiga teraju utama yang sudah tidak asing lagi di kalangan peminat setia siri tersebut, Oh My English! After School membawa penonton mengikuti cabaran dan rintangan sahabat baik, Zack (Juzzthin), See Yew Soon (Roax Tan) dan Jibam (Akhmal Nazri)) mengusahakan perniagaan kafe hipster mereka sendiri





pelakon Oh My English! After School
Buat julung-julung kalinya, pemenang Anugerah Artis Komedi Wanita Popular ABPBH 2014, Didie Alias akan tampil memegang watak Mak Yam, pesaing terdekat kafe hipster milik trio lucu ini.

Di samping itu, penampilan pelakon dan personaliti jelita, Amelia Henderson juga kemunculan semula Juliana Evans menerusi watak Taylor Smith bakal memukau hati para jejaka dalam siri ini.

Bukan itu sahaja, nama-nama besar seperti Nad Zainal, Kamal Adli, Zhafir Muzani, Lisa Surihani dan Yusry Abdul Halim, Sherry Alhadad, Altimet dan Fikry Ceria Popstar akan menggamatkan lagi keluarga baru Oh My English! After School.

Pelakon veteran Rama (Jangan Ketawa) akan turut menjayakan siri OME tahun ini.




Sinopsis Oh My English! After School

Oh My English! After School membawa penonton melihat kehidupan para pelajar kelas 5 Merah setelah mereka menamatkan persekolahan di peringkat SPM di SMK Ayer Dalam.

Semuanya bermula apabila SYS telah diculik oleh lelaki misteri bergelar Mr A. Mr A menginginkan SYS menguruskan perniagaan makanannya.

Disebabkan SYS bercita-cita untuk menjadi usahawan berjaya, maka dia pun telah menerima tawaran tersebut dan meminta bantuan teman karibnya Zack dan Jibam.
Oh My English! After School - Jibam, SYS dan Zack
Ketiga-tiga sahabat ini merasa begitu teruja menjalankan perniagaan yang penuh cabaran dengan membuka kafe bernama “After School Café”. Pelbagai kejadian berlaku sewaktu mereka bertiga mahu membangunkan perniagaan ini.

Berjayakah mereka memajukan perniagaan mereka dan apa lagi rintangan yang menanti mereka kali ini?

Sebanyak 13 episod bakal memeriahkan musim terbaharu Oh My English! After School bersama-sama dua telefilem istimewa yang akan disiarkan dalam jangka masa terdekat ini.

Musim terbaharu Oh My English! ini menjanjikan lebih banyak keriangan, kejutan dan kaedah baharu untuk memperkasa penguasaan bahasa Inggeris anda. Oh My English! After School akan bersiaran secara eksklusif di Astro TVIQ (saluran 610) dan Astro Maya HD (saluran 135), setiap Ahad, 6.30 petang, mulai 31 Julai 2016.

Untuk maklumat lanjut dan terkini mengenai Oh My English!, layari www.ohmyenglish.com.my.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments