16 Peserta Bersaing Dalam Super Spontan Superstar

Super Spontan Superstar Ganding 16 Bintang Terkenal : Selebriti Pujaan, Personaliti Media Sosial Sedia Gempur Benteng Komedi Pelawak.
Super Spontan Superstar
Program realiti komedi spontan popular, Super Spontan kembali dengan musim terbarunya, menampilkan 16 bintang yang tidak asing lagi!

Lebih istimewa tahun ini, dua personaliti media sosial terkenal bakal menghangatkan gelanggang SuperSpontan dan memberi saingan hebat kepada pemain SuperSpontan Superstar lain yang terdiri daripada para selebriti dan pelawak popular tanahair.

Jika sebelum ini, Zizan Razak pernah dinobatkan sebagai juara musim pertama dan musim keempat selain Jep Sepahtu untuk musim kedua, edisi kali ini turut menyaksikan kembalinya juara musim ketiga, Johan Raja Lawak bagi memburu kejuaraan keduanya!

Masih mengekalkan format asal, program realiti Super Spontan Superstar bakal bersiaran secara langsung dari Pusat Kebudayaan & Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (UPM), Serdang pada setiap hari Jumaat, jam 10.00 malam mulai 5 Ogos 2016 secara eksklusif menerusi Astro Warna (Saluran 132) dalam pakej Mustika dan ditayangkan serentak di Mustika HD (Saluran 134).

Sama seperti musim terdahulu, Super Spontan Superstar meneruskan konsep berhibur sambil beramal apabila setiap pasukan yang memenangi pusingan mingguan berpeluang menyumbangkan wang tunai RM 5,000 kepada selebriti veteran terpilih ataupun para seniman yang memerlukan pembiayaan perubatan.

Sesuai dengan konsep ‘Superstar’ untuk mengangkat jasa insan-insan seni yang telah pun berbakti kepada dunia hiburan tanahair.




16 Peserta Super Spontan Superstar

Selain Johan Raja Lawak, Super Spontan Superstar turut menyaksikan penyertaan isteri pemenang Anugerah Top Top Meletop ini iaitu Ozlynn di samping Kamal Adli, Julia Ziegler, Altimet, Waris, Amyza Adnan, serta Jamal dan Zukiee.

Mereka akan melontarkan idea bernas masing-masing bersama-sama barisan pelawak negara yang cukup dikenali iaitu Abam Bocey, Fad Bocey, Achey, Tauke, Syuk Joras, Ali Puteh dan Zulin Aziz.

Berbeza berbanding musim sebelum ini, setiap pasukan tidak akan mempunyai pengurus sebaliknya seorang selebriti dilantik mengetuai kumpulan masing-masing.

16 selebriti ini akan dipecahkan kepada dua kumpulan seperti biasa, di mana Johan Raja Lawak dan Tauke Raja Lawak dipilih memimpin barisan peserta yang lain.

Mereka akan diundi sama ada menyertai kumpulan Harimau Hipster ataupun Monyet Mafia.

Persembahan mingguan akan diadili berdasarkan format permarkahan yang ditentukan sepenuhnya melalui undian SMS daripada penonton dan menerusi laman web rasmi di www.superspontan.com.my.

Talian untuk menghantarkan undian akan mula dibuka pada 5 Ogos 2016. Cara-cara untuk mengundi akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Juara Super Spontan Superstar akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 100,000.00.

Manakala Naib Juara dan pemenang tempat ketiga masing-masing akan memenangi RM 50,000.00 dan RM 25,000.00. Sementara pemenang tempat keempat, kelima dan keenam turut membawa pulang wang tunai RM 5,000.00 setiap seorang.

Super Spontan turut mendapat tajaan minuman tenaga Drive M7 dan Go Shop yang menaja baucer membeli-belah bernilai lebih RM 10,000 sebagai hadiah mingguan serta hadiah utama Peraduan Kata Kunci Super Spontan Superstar untuk dimenangi penonton di rumah.

Jangan lupa temujanji anda untuk menyaksikan Super Spontan Superstar pada setiap hari Jumaat, jam 10.00 malam bermula 5 Ogos 2016 secara eksklusif menerusi Astro Warna (Saluran 132) dalam pakej Mustika dan ditayangkan serentak di Mustika HD ( Saluran 134).

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments