Fadlan Hazim & Chacha Maembong Kahwin Muda

Fadlan Hazim & Chacha Maembong Kahwin Muda
Terdapat banyak persepsi tentang perkahwinan pada umur yang muda. Ada yang berpendapat bahawa kahwin muda dapat mengelak perkara yang tidak diingini manakala ada pula yang tidak setuju kerana tidak mempunyai status kewangan yang stabil.

Berkahwin pada usia muda mula diterima dan menjadi trend pada masa sekarang. Ikuti kisah hidup Syed Rizal dan Nilam yang dipaparkan dalam drama bersiri baharu slot Iris, Kahwin Muda bermula 22 Ogos 2016 ini!

Drama bersiri 12 episod terbitan Rumah Karya Citra arahan oleh Pali Yahya ini membariskan pelakon-pelakon popular seperti Fadlan Hazim, Chacha Maembong, Esma Daniel, Azizah Mahzan, dan Fazlina Ahmad Daud.




Sinopsis Kahwin Muda

Mengisahkan tentang impian Syed Rizal (Fadlan Hazim) dan Nilam (Chacha Maembong) yang mahu berkahwin sejurus tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Persahabatan yang rapat sejak sekolah rendah sehingga ke sekolah menengah, Rizal dan Nilam sering digelar sebagai Romeo & Juliet.

Mereka berdua sudah berjanji untuk berkahwin selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), jadi mereka tidak sabar menanti untuk tamat zaman persekolahan.

Kedua-dua keluarga tahu akan hubungan baik antara Rizal dan Nilam. Keluarga Rizal terkejut apabila Rizal menyuarakan hasrat untuk berkahwin dengan Nilam sebaik habis SPM. Mereka berpendapat bahawa Rizal dan Nilam terlalu muda dan belum bersedia untuk berdikari. Rizal dan Nilam tertekan kerana janji dan impian mereka dihalang.

Kahwin Muda di Golok

Rizal menganggap dia adalah pelindung kepada Nilam. Rizal berusaha untuk mencari jalan kerana Nilam mengimpikan sebuah perkahwinan yang mengikut adat dan budaya orang Melayu. Malangnya, Rizal dan Nilam tidak berjaya memujuk orang tua mereka sehingga Rizal membuat keputusan ingin membawa Nilam bernikah di sempadan Golok.

Kedua-dua keluarga menjadi gempar selepas kehilangan Rizal dan Nilam. Akhirnya, mereka bersetuju dengan permintaan Rizal dan Nilam. Puan Sharifah Sapura, nenek kepada Rizal telah meletakkan syarat kerana dia mahu mengajar pasangan muda ini bahawa perkahwinan itu adalah satu tanggungjawab yang besar.

Mereka tidak akan menyara hidup Rizal dan Nilam selepas mereka berkahwin. Rizal perlu belajar hidup berdikari sepenuhnya.

Kegembiraan Rizal dan Nilam apabila berjaya merealisasikan impian untuk berkahwin selepas tamat persekolahan mula dihimpit dengan pelbagai cabaran hidup. Sudah bersediakah pasangan muda ini mengharungi asam garam rumah tangga?

Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman web www.tv3.com.my dan ikut info terkini di laman sosial Facebook, Twitter, Youtube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia. Kahwin Muda juga telah mula disiarkan di portal video tonton, www.tonton.com.my menerusi Tonton First.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments