Pencarian Pencetus Ummah Musim Keempat

Program realiti dakwah unggul, Pencetus Ummah kembali untuk musim keempat di mana pencarian pendakwah baru serba boleh diteruskan Ogos ini.

Setelah berjaya mencipta fenomena tersendiri selama tiga musim, Pencetus Ummah bakal menjelajah ke seluruh negara bagi mencari pendakwah ulung yang seterusnya.

Program yang dicetuskan saluran 106, Astro Oasis ini bakal singgah di beberapa lokasi di seluruh negara bermula 13 Ogos 2016 ini dengan Johor Bahru, menjadi lokasi pertama ujibakat.

Selama tiga musim, Pencetus Ummah telah pun melahirkan ramai pendakwah yang dilihat menjadi pelapis yang bagus dalam menyuburkan syiar dakwah Islamiah tanah air.

Menjadikan Rasulullah SAW selaku ikon Pencetus Ummah, tentunya musim kali ini menjanjikan barisan peserta yang lebih baik untuk meneruskan perjuangan Baginda Muhammad SAW.





Pengurus Saluran Astro Oasis, Ahmad Fuad Mat AliTidak dinafikan, program Pencetus Ummah telah memberi impak yang besar kepada dunia dakwah tanah air menerusi elemen penyatuan ummah dan penyebaran ilmu yang menjadi tunjang utama program ini.

Memasuki musim keempat, kami amat gembira program ini diterima baik penonton di luar sana dan dijadikan inspirasi oleh ramai orang dalam usaha menjadi seorang Muslim yang lebih baik.

Kami di Astro akan sentiasa memberikan pendekatan lebih menarik menerusi topik-topik tazkirah yang lebih relevan untuk kita bawakan, berdasarkan konteks pembangunan umat Islam terkini”. – Pengurus Saluran Astro Oasis, Ahmad Fuad Mat Ali

Sesi uji bakat ini terbuka kepada semua lelaki Muslim warganegara Malaysia, Singapura dan Brunei juga pemastatutin tetap Malaysia, Singapura dan Brunei yang fasih berbahasa Malaysia; berusia 18 tahun ke atas serta sihat tubuh badan di samping mempunyai latar belakang dan pengetahuan agama Islam yang baik.

Mereka yang berminat perlu hadir ke lokasi uji bakat bermula jam 9.00 pagi dengan membawa salinan kad pengenalan berserta dua keping gambar 4R.

Selain diuji untuk membaca surah Al Fatihah dan beberapa surah lazim, para peserta juga perlu hadir dan bersedia dengan satu topik tazkirah dengan tajuk bebas dan pengisian mestilah mengandungi ayat Al-Quran dan hadis.

Selain itu, para peserta juga boleh mencuba nasib menerusi penyertaan secara atas talian apabila ujibakat online Pencetus Ummah telah pun dilancarkan mulai 1 Ogos yang lalu.

Mereka yang berminat perlulah menghantar satu video tazkirah pendek, tidak melebihi 3 minit dan dimuat naik ke laman sesawang rasmi Pencetus Ummah iaitu www.pencetusummah.com.my.

Melalui laman sesawang ini juga, segala maklumat lanjut berkenaan program yang pernah memenangi Anugerah Program Agama Terbaik Anugerah Seri Angkasa 2016 inI ada disertakan sekali bagi tujuan rujukan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments