Single Terbaru Sam Nuhair – Kau Menjauh

Single Terbaru Sam Nuhair - Kau Menjauh
Syamila Nuhair atau lebih dikenali dengan nama panggilannya, Nuha adalah seorang bintang yang menyerlah ketika tempoh penglibatannya dalam satu rancangan realiti TV pada tahun 2014.

Kini, selepas membuat keputusan untuk menukar namanya kepada Sam Nuhair, gadis genit ini bakal membuktikan bahawa beliau bukan sekadar seorang artis segera yang hanya duduk menunggu durian runtuh.

Sam Nuhair sememangnya dikenali dengan vokal lantangnya, yang jelas ternyata daripada video-video di YouTube menunjukkan nyanyiannya mendendangkan lagu-lagu bintang-bintang antarabangsa seperti Adele,Beyonce dan sebagainya.

Walaupun gadis kelahiran Perak ini memperlihatkan masa depan yang cerah untuk menempa nama dalam industri muzik, tidak bermakna perjalanannya tidak menemui jalan buntu dan halangan hingga membuatkan gadis ini terfikir untuk berputus asa dan tersekat di sebalik bayangan penyanyi lain.

Memulakan langkah baharunya bersama JoePRC International sebagai pihak pengurusannya, Sam Nuhair kini bersedia untuk meninggalkan bayangan tersebut dan kembali menyinar di pentas sebagai seorang anak seni dengan gaya dan identitinya yang tersendiri.





Single Sam Nuhair Kau Menjauh

Single Baru Sam Nuhair, ‘Kau Menjauh’ Bakal Dilancarkan

Single terbaharu Sam Nuhair, ‘Kau Menjauh’ yang dicipta sepenuhnya oleh beliau sendiri adalah bukti pertama yang menunjukkan gadis ini pastinya akan menarik perhatian anda dan membuatkan anda jatuh cinta dengan karya yang mempunyai melodi korus yang indah ini.

Lagu ini dicipta ketika beliau masih di alam persekolahan, mengisahkan tentang kekasihnya yang curang.

Seperti mana yang diceritakan, pembikinan lagu ini melalui onak duri dan pelbagai dugaan yang menyebabkan Sam Nuhair menghabiskan wang hampir RM30,000 untuk menyempurnakannya.

Namun akhirnya, berkat usaha dan kesungguhan gadis berusia 23 tahun ini untuk terus berjuang dan maju ke depan, beliau ditemukan dengan pihak JoePRC International yang mempercayai kebolehan dan bakat istimewanya.

Single baharu Nuhair, ‘Kau Menjauh’ ini bakal dilancarkan secaras digital pada 26 Ogos 2016 ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments