Bisik Pada Langit – Kasih Agung Seorang Ayah

Cinta seorang ibu kepada anaknya sering diandaikan lebih dalam dari dasar laut, manakala kasih seorang ayah kepada anaknya kadangkala tidak terlihat pada zahirnya, namun keikhlasannya lebih tinggi daripada gunung. Pengorbanan seorang ayah untuk membahagiakan anak tiada tandingannya.

Mungkin ramai yang terlepas pandang akan hakikat ini,

Justeru itu naskah terkini milik pengarah hebat, Kabir Bhatia, ini pasti mampu mengingatkan kita kembali akan kehebatan figura lelaki yang dipanggil ‘ayah’ ini.

bisik-pada-langit-kasih-agung-seorang-ayah

‘Bisik Pada Langit’ adalah sebuah filem televisyen (FTV) terbaharu yang diterbitkan Nusantara Seni Karya Sdn. Bhd. dan akan disiarkan di saluran Astro First Eksklusif (480) mulai 15 September ini.

Pelakon berpengalaman, Jalil Hamid, diberikan tanggungjawab memegang peranan utama dalam menjayakan filem TV ini sebagai ayah manakala pelakon popular, Ummi Nazeera, memegang watak seorang anak yang cukup ditatang serta dikasihi sepenuhnya oleh ayah beliau.

Pelakon hebat, Beto Kusyairi, turut tampil memegang watak penting sebagai abang di samping Fadilah Mansor, yang melakonkan watak sebagai ibu.

Percaturan Kabir Bhatia menampilkan kesemua nama-nama hebat untuk naskah ini dilihat berjaya apabila barisan pelakon berjaya menjiwai watak masing-masing yang pasti mampu mengusik hati penonton.




Sinopsis Bisik Pada Langit

Bisik Pada Langit mengangkat kisah kekeluargaan sebagai plot utama dan diapit pula dengan aspek ketulusan sebuah persahabatan, cinta dan ketentuan takdir yang telah tersurat.

Pada masa yang sama, Kabir Bhatia, turut memberikan penekanan terhadap pengorbanan Wak Selamat (Jalil Hamid) sebagai seorang ayah yang dilihat begitu menyayangi anak perempuannya dan sanggup menunaikan segala kehendak permata hatinya ini bagi memastikan kebahagiaan dikecapi beliau pada setiap masa.

Siti Hajar (lakonan Ummi Nazeera) merupakan satu-satunya anak perempuan dari tiga beradik.

Sama seperti ayahnya, abang beliau, Zaidi (Beto Kusyairi) dan adiknya, Ikram (Naim Daniel) turut perlu berkorban semata-mata demi memastikan cita-cita Siti Hajar untuk melanjutkan pelajaran di Perth, Australia dapat direalisasikan.

Walaupun dalam keadaan berat hati, Wak Selamat perlu membenarkan anaknya pergi dengan harapan Siti Hajar dapat membawa pulang segulung ijazah seterusnya membantu keluarga yang selama ini hidup dalam serba kekurangan.

Harapan Wak Selamat musnah apabila Siti Hajar dimaklumkan terlibat dalam satu kemalangan motosikal berkuasa tinggi di Perth.

Lebih meremukkan hati Wak Selamat adalah apabila beliau hanya mengetahui akan hobi anaknya yang gemar menunggang motosikal selepas dari kecelakaan yang menimpa Siti Hajar, namun pada masa yang sama, semua ahli keluarga sudah mengetahuinya sejak dari duhulu lagi.

Siti Hajar kini berada dalam keadaan kritikal dan koma di negara asing yang menjadikan keluarganya di Malaysia tidak senang duduk dan ditindih keresahan.

Tidak cukup sekadar memanjatkan doa agar dipermudahkan segalanya, Wak Selamat terus berusaha mencari jalan agar beliau dapat pergi ke Australia untuk melihat sendiri keadaan anak kesayangannya itu.

Tanah yang ada digadaikan, rumah pula dipajakkan, saudara mara ada yang membantu tetapi kebanyakkan dari mereka dilihat lebih banyak mencemuh kerana tidak setuju akan keputusan Wak Selamat untuk pergi melawat anaknya di Australia kerana ia diandaikan sebagai satu pembaziran kepada mereka yang terang-terangan hidup susah di sini.

Wak Selamat dan keluarganya dinasihatkan untuk terus menanti akan keputusan doktor dengan penuh pasrah di Malaysia.

Tetap berdegil dengan keputusan beliau, Wak Selamat terus dengan pendiriannya untuk pergi ke Australia melawat anaknya.

Namun begitu, adakah usaha Wak Selamat selama ini bakal menemui jalan buntu, dan adakah Siti Hajar akan kembali sedar atau Wak Selamat terlewat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada anaknya?

Lagu Tema Bisik Pada langit – Lygophobia oleh Akim & The Majistret

Selain memberikan mood kepada keseluruhan perjalanan cerita, lagu tema yang bersesuaian juga memainkan peranan sebagai pelengkap kepada sesebuah karya yang dilahirkan terutamanya di saat peralihan babak-babak penting.

Menyedari akan hakikat tersebut, sebuah lagu runut bunyi dihasilkan khas untuk ‘Bisik Pada Langit’. Didendangkan oleh penyanyi kelahiran program realiti yang cukup diminati ramai, Akim & The Majistret, lagu ‘Lygophobia’ ini ditulis oleh Hang Nadim dan lirik oleh Laq.

Jangan lepaskan peluang untuk menonton tayangan eksklusif ‘Bisik Pada Langit’ pada 15 September 2016 ini di Astro First Eksklusif, saluran 480. Dengan hanya RM15.90 (termasuk GST) untuk sebuah filem, para penonton boleh menyaksikan filem ini berulang kali dalam tempoh 48 jam dari waktu pembelian.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments