Ceria I-Star Ketengahkan Bakat Islamik

Ceria I-Star Ketengahkan Bakat Islamik
Astro meneruskan misi pencarian bakat-bakat cilik menerusi sebuah rancangan realiti terbaru, Ceria I-Star yang akan disiarkan bermula 14 Oktober 2016, setiap Jumaat jam 9.00 malam di Astro Ceria, Saluran 611 dan Maya HD, Saluran 135.

Menerusi saluran yang didedikasikan khas untuk kanak-kanak itu, Astro Ceria sekali lagi tampil dengan konsep baru yang lebih segar dalam meneruskan usaha mereka mengenengahkan bakat-bakat anak kecil di Malaysia.

Bezanya kali ini, program pencarian bakat ini mengangkat bakat Islamik sebagai tarikan utama.

Ceria I-Star menampilkan 10 peserta yang punyai pelbagai bakat dan aksi berbeza dalam menyampaikan kandungan Islamiah menerusi medium yang komersial dan di atas talian.

Para peserta diberi kebebasan mempamerkan apa sahaja bakat yang mereka ada. Dari pendakwah muda sehinggalah kepada penyanyi lagu-lagu ketuhanan sehinggalah ‘choral speaking’ dalam Bahasa Arab, Ceria I-Star mahu mengangkat mesej Islam dalam cara yang paling menarik dan sedikit santai khususnya dalam menarik minat anak-anak di rumah lebih mendalami konsep agama Islam yang mudah dan indah.

Dalam masa yang sama, Ceria I-Star mahu melahirkan bakat yang boleh diangkat sebagai ikon kandungan Islamik kanak-kanak seterusnya menarik minat golongan muda ini untuk mendekati agama Islam dengan lebih dekat lagi.

Lebih 500 peserta telah hadir ke sesi ujibakat Ceria All Stars dan sambutan yang diterima amat menggalakkan sehinggakan juri serta pihak produksi menghadapi kesukaran menyenarai pendek peserta yang layak bersaing di pentas Ceria I-Star.

Setelah menilai kualiti, keunikan serta kebolehan peserta yang telah hadir, seramai 10 orang peserta yang memiliki kredibiliti dan keistimewaan tersendiri telah berjaya melayakkan diri ke pusingan seterusnya termasuklah dua peserta dari negara jiran, Indonesia dan Brunei yang berpotensi diketengahkan.

Pendakwah popular tanahair, Ustaz Zul bertindak selaku penasihat Ceria I-Star di mana beliau akan memastikan kandungan baik dari segi persembahan juga keseluruan pelaksanaan Ceria I- Star mengikut landasan agama yang betul manakala Nabil Ahmad diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai pengacara ditemani Ustaz Yeop selaku pengacara bersama.

Imam Muda Asyraf dan ahli motivasi terkenal, Amin Idris dipilih menduduki kerusi Juri Tetap sambil ditemani seorang lagi selebriti jemputan sebagai juri undangan pada setiap minggu.

Ceria I-Star akan bersiaran selama 6 episod beserta episod pengenalan di mana kesemua 10 peserta perlu bersaing dan menghadapi penyingkiran di akhir episod.

Aksi-aksi terbaik akan layak ke pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung pada November depan. Peringkat akhir akan disiarkan secara langsung khas untuk penonton-penonton di rumah.

Juara Ceria I-Star bakal membawa pulang hadiah berbentuk wang tunai sebanyak RM 15,000.00 beserta trofi sumbangan Astro. Naib juara pula bakal memenangi wang tunai sebanyak RM 10,000.00 beserta trofi. Tempat ketiga bakal meraih wang tunai RM 5,000.00 dan juga trofi.

Manakala pemenang tempat keempat pula akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM 1,000.00 beserta trofi.

Ceria I-Star diceriakan oleh Qu Puteh dan episod pertama Ceria I-Star bakal bersiaran 14 Oktober 2016 ini bermula jam 9.00 malam hanya di saluran 611, Astro Ceria dan saluran 135, Maya HD.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments