Kembara Kemanusiaan Bumi Tsunami bersama Faizal Tahir

Kembara Kemanusiaan Bumi Tsunami bersama Faizal Tahir
Program Kembara Kemanusiaan Bumi Tsunami Banda Aceh bersama Faizal Tahir telah disertai oleh 33 orang peserta merupakan anjuran Usrah Billionaire dengan kerjasama iamFaithmen dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Aceh.

Ianya telah membawakan misinya tersendiri dalam menyantuni anak yatim dan golongan yang memerlukan.

Kehadiran mereka diraikan oleh mahasiswa mahasiswi Malaysia di Rumah Kegiatan Mahasiswa Malaysia di Banda Aceh dalam satu majlis “Sharing Moment Bersama Faizal Tahir.”

Ketika majlis ini Faizal Tahir telah berkongsi pengalaman sepanjang beliau melakukan misi kemanusiaan. Perkongsian ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat agar dapat memupuk nilai kemanusiaan dan sikap saling membantu.





Beliau berharap juga mahasiswa Malaysia yang berada di Banda Aceh menjadi mahasiswa yang mampu berbakti, baik dalam program seperti ini mahupun dalam pelajaran.

Menurutnya lagi, usaha seperti ini perlu diteruskan bagi mereka yang berkemampuan untuk menyalurkan bantuan dalam bentuk apapun kerana islam itu bersaudara selain cuba memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat.

Faizal Tahir ketika ditemui berkata, “Misi Kembara Kemanusiaan yang dijalankan ini bukan sahaja menjadi platform persaudaraan dan berkongsi kegembiraan, malahan turut membawa bersama misi bantuan kepada mereka yang kurang berkemampuan. Sebagai saudara seagama, kita sewajarnya mengambil peduli dan membantu samada melalui sumbangan atau setidaknya kita sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka,”

Pengarah program yang juga merupakan Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia Di Indonesia Cawangan Aceh berkata, tujuan utama program kembara kemanusiaan ini diadakan adalah untuk memupuk rasa kemanusiaan terhadap insan lain yang serba kekurangan disamping menimbulkan kefahaman dan kesedaran manusiawi kepada peserta khususnya melalui aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan.

Menurutnya, setiap percutian yang dilakukan biarlah menjadi satu ibadah dan bukan perkara yang sia-sia.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments