Ushera Lancar Album Semalam di Malaya

Ushera - Semalam di Malaya
Ushera telah melancarkan albumnya yang sangat dinanti-nantikan bertajuk Semalam di Malaya bertempat di The Social @ TREC.

Diinspirasikan daripada originaliti tahun-tahun formatif lanskap muzik kontemporari Malaysia, Semalam di Malaya mencerminkan kebanggaan Ushera terhadap warisan peninggalan negara.

Album yang dirujuk sebagai ‘projek kebangkitan semula’ tersebut memberi penghormatan kepada muzik kontemporari Malaysia sekitar tahun-tahun pra-kemerdekaan iaitu pada 1940- an dan 1950-an di mana negara ini masih lagi dikenali sebagai Malaya.





Penyumbang utama di dalam album ini adalah Ganesh Bala, iaitu pemain piano Ushera sepanjang lima tahun pembabitannya di dalam bidang muzik.

Ganesh turut merangkap komposer, penyusun lagu dan produser; dan mereka berdua telah mengambil masa tujuh bulan untuk menyiapkan album ini iaitu keluaran pertama di dalam koleksi Semalam di Malaya.

Bersama-sama mereka telah mengetengahkan semula bintang-bintang legenda seperti Ahmad Jaafar dan Osman Ahmad yang bertanggungjawab menulis lagu-lagu dan karya-karya indah buat vokalis-vokalis tersohor termasuklah Nona Asiah dan Kamsani.

Album ini mengandungi sebelas lagu-lagu klasik di dalam irama orkestra, Latin, muzikal dan Jazz.

Di antaranya adalah Bunga Raya, Dunia Asmara, Jikalau Abang Merindu, lagu rancak Polynesia Mambo dan lagu yang sedikit nakal iaitu Chuchi Kain Chuchi Mata yang kesemuanya dinyanyikan di dalam gaya asal.

Semalam di Malaya berusaha untuk mengekalkan keaslian bunyian audio klasik

Semalam di Malaya berusaha untuk mengekalkan keaslian bunyian audio klasik dari era masa lalu tanpa mengubah melodi dan keharmonian irama susunan muzikal yang original.

Namun, Ushera dan Ganesh telah membuat perubahan dari segi dinamik dan sentuhan teknologi moden agar produk akhir dapat memberikan pengalaman sinematik dalam spektrum yang holistik bagaikan menonton sebuah pertunjukan di dalam dewan konsert.

Saya amat berhati-hati untuk tidak mengubah terlalu banyak versi asal lagu-lagu yang dirakamkan kerana komposisi karya-karya tersebut sudahpun begitu indah.

Di sini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ganesh kerana amat memahami visi saya dan telah menyusun lagu-lagu ini dengan amat minimal sekali tetapi ianya amat penting untuk memberikan nafas baru kepada karya-karya agung ini,” Ushera.





Semalam di Malaya, Ushera
Melalui Semalam di Malaya, Ushera bukan sahaja ingin mengimbau semula memori nostalgia di kalangan generasi lama, tetapi juga mengambil kesempatan ke atas perhatian yang semakin banyak diberikan oleh generasi baru kepada warisan artistik dan budaya negara dan membawa mereka kembali ke zaman kegemilangan muzik Malaysia.

Pada bulan Disember ini, album ini akan dilancarkan di Brunei Darussalam.

Dengan siri jelajah yang telahpun dirancang tahun depan di mana Ushera akan membuat persembahan di beberapa festival muzik seluruh dunia, tanpa ragu-ragu lagi Semalam di Malaya pasti akan menambat hati peminat muzik antarabangsa.

Semalam di Malaya kini boleh didapati iTunes , Spotify dan saluran streaming music utama.

Lawati www.semalamdimalaya.com untuk membeli CD melalui kedai online.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments