Oh My English: Road to Jogja!

Astro dengan bangganya mempersembahkan sebuah mega telefilem istimewa ‘Oh My English: Road to Jogja’ yang akan bersiaran secara eksklusif di Astro TVIQ (Saluran 610), Astro Prima (Saluran 105) dan juga dalam definisi tinggi (HD) di Astro Maya HD (Saluran 135).

Istimewanya kali ini, ‘Oh My English: Road to Jogja’ akan menemui peminat setia siri edutainment popular itu menerusi dua bahagian, di mana ‘Oh My English: Road to Jogja Part 1’ akan bersiaran pada hari Sabtu, 3 Disember 2016, jam 9.00 malam manakala ‘Oh My English: Road to Jogja Part 2’ akan bersiaran pada hari Ahad, 11 Disember 2016 jam 9.00 malam.





Oh My English Road to Jogja

‘Oh My English: Road to Jogja’ bakal menyaksikan kemunculan 3 teraju utama Oh My English, Zack (Juzzthin), See Yew Soon (Roax Tan) dan Mazlee (Zhafir Muzani) bersama beberapa selebriti terkenal yang akan memeriahkan perjalanan kedua-dua telefilem ini.

Juara Super Spontan Superstar 2016, Johan Raja Lawak dan juga artis komedi wanita popular, Jihan Muse akan muncul dalam bahagian pertama telefilem ini di samping penyanyi dan komposer yang tidak asing lagi, Mark Adam.

Bahagian kedua telefilem ini pula akan menyaksikan kemunculan pelakon popular Indonesia, Randy Pangalila bersama Elfira Loy, di mana duo yang tidak asing di kaca TV sinema Malaysia ini akan digandingkan sekali lagi khas untuk peminat-peminat Oh My English!

Telefilem arahan Umi Salwana Omar ini telah pun menjalani pengambaran di beberapa lokasi menarik di Semenanjung Malaysia seperti Ipoh dan Pulau Pinang.

Selain itu, dalam mendapatkan ‘feel’ dan suasana yang bersesuaian dengan tajuknya, kru produksi serta para pelakon telah terbang ke bumi Jogjakarta untuk merakamkan beberapa babak utama di sana.

Dalam mendapatkan sinematografi terbaik untuk membangkitkan ‘mood’ telefilem ini, peralatan yang diguna pakai juga diperhalus agar hasil akhirnya berjaya meninggalkan kesan buat penonton di rumah.

‘Oh My English: Road to Jogja’ Bahagian Pertama

Mengisahkan perjalanan Zack, See Yew Soon dan Mazlee mencapai impian mereka bergelar chef dan pengusaha kafe berjaya.

Setelah buntu mencari idea baru untuk melariskan kembali perniagaan kafe ‘After School’ mereka, mereka bercadang untuk bertanding di dalam sebuah pertandingan memasak peringkat antarabangsa di mana mereka bukan sahaja boleh memenangi wang tunai, tetapi juga mengembalikan reputasi perniagaan mereka.

Dengan bantuan Mr. A, mereka mengembara ke seluruh Malaysia untuk mengembalikan nama bersih kafe ‘After School’, menggunakan sebuah ‘food truck’.

Dalam kekalutan itu, mereka bertemu Chef Bru (Mark Adam) yang dalam diam, ingin mengambil kesempatan terhadap mereka untuk kepentingan peribadi. Chef Bru memberikan tugasan mencabar, mengarahkan Zack, See Yew Soon dan Mazlee mencari 3 bahan rahsia; ayam hitam kaki satu, sos popia meletop dan rempah kari menangis.

Sebagai tukaran beliau akan berkongsi rahsia masakan beliau.

Pelbagai perkara lucu, cabaran dan rintangan dihadapi tiga sahabat ini dalam pencarian penuh mendebarkan itu. Berjayakan ketiga-tiga bahan itu ditemui dan adakah mereka akan berjaya menawan kembali hati pelanggan mereka? Semuanya akan terjawab dalam bahagian pertama telefilem ini.

‘Oh My English: Road to Jogja’ Bahagian Kedua

Menyaksikan perjalanan Zack, See Yew Soon dan Mazlee membawa panji Malaysia dan kafe ‘After School’ dalam sebuah pertandingan masakan antarabangsa berprestij di Jogjakarta, Indonesia.

Setibanya mereka di sana, terdapat chef-chef handal lain yang turut sama mengambil bahagian termasuklah Jazlin lakonan Elfira Loy, seorang gadis dari Malaysia yang mahir menyediakan hidangan istimewa resipi turun temurun neneknya dan juga Maskor (Randy Pangalila), seorang jejaka Indonesia yang memiliki karakter yang aneh.

Dengan gelaran juara dan ganjaran tunai menjadi pertaruhan, mereka mencuba sehabis baik menampilkan persembahan dan kreativiti dalam setiap masakan mereka.

Keadaan menjadi semakin pelik apabila beberapa kejadian tidak diingini berlaku dan seorang demi seorang chef yang bertanding mula ditimpa musibah.

Adakah semua ini satu muslihat dan apakah yang akan berlaku di Jogjakarta? Dapakah Zack, See Yew Soon dan Mazlee merungkai misteri ini dan melepaskan diri? Semuanya dapat disaksikan di akhir telefilem ini.

Jangan lepaskan peluang menonton tayangan perdana ‘Oh My English: Road To Jogja Part 1 & Part 2’ di Astro TVIQ (Saluran 610), Astro Pima (Saluran 105), dan juga Astro Maya HD (Saluran 135) pada 3 Disember dan 11 Disember 2016, jam 9.00 malam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments