Astro Perkenalkan Saluran “Upin & Ipin Bersama Kawan-Kawan”

Astro Perkenalkan Saluran Upin & Ipin Bersama Kawan-Kawan di Astro First
Astro mengumumkan kolaborasi bersama syarikat animasi terhebat di Malaysia, Les’ Copaque Production Sdn. Bhd. dengan memperkenalkan sebuah saluran inovatif baru, ‘Upin & Ipin Bersama Kawan-Kawan’ yang akan menemui penonton menerusi platform Astro First, saluran 480 mulai 1 Disember 2016 ini.

Ini merupakan jalinan kerjasama yang buat julung-julung kalinya diadakan di antara Astro dan Les’ Copaque bagi melancarkan saluran animasi tempatan pertama yang bakal bersiaran khas untuk musim cuti sekolah yang akan datang ini.

Saluran iniakan bersiaran selama 24 jam sehari untuk satu tempoh yang ditetapkan.





‘Upin & Ipin Bersama Kawan-Kawan’ akan menampilkan beberapa kategori animasi menarik, dengan didahului oleh siri popular ‘Upin & Ipin’ sebagai kandungan utama di saluran ini.

Siri Upin & Ipin akan dibahagikan kepada tiga segmen iaitu "Jejak Upin & Ipin”, “Upin & Ipin Sahabat Selamanya” dan “Upin & Ipin Pejuang Hebat" yang memuatkan koleksi episod-episod kegemaran ramai.

Pada masa yang sama, siri animasi ‘Pada Zaman Dahulu’ akan turut diperkenalkan yang mana ia menampilkan kisah-kisah tauladan “Sang Kancil Yang Bijak” yang sarat dengan mesej-mesej positif agar ia boleh dijadikan iktibar kepada adik-adik yang menontonnya.

Di samping itu, ‘DaDuDiDo’; sebuah siri animasi tanpa dialog berdurasi pendek akan turut diperkenalkan sebagai salah satu pilihan di saluran ini.

Siri ‘DaDuDiDo’ sebelum ini boleh dinikmati di platform Youtube Les' Copaque Production, namun begitu ini merupakan kali pertama ianya diangkat ke kaca televisyen.

Selain dari itu, ‘Kembara Warisan Detektif Upin & Ipin’, sebuah siri berbentuk “game show” yang belum pernah disiarkan di disiarkan di mana-mana stesen TV tempatan, kini boleh ditonton secara eksklusif di saluran ini.

Siri ini dihasilkan dengan kerjasama dari Jabatan Warisan Negara dan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bertujuan untuk memperkenalkan lokasi, permainan-permainan tradisional, variasi makanan dan pelbagai barangan warisan negara yang wajar dikongsi bersama.

Menarik lagi, konsep siri ini menggabungkan tiga aspek teknikal yang berbeza; animasi-3D, "live-action" dan "motion graphic".

Saluran ‘Upin & Ipin Bersama Kawan-Kawan’ akan mula bersiaran secara eksklusif di Astro First (saluran 480) mulai 1 Disember 2016. Dengan hanya RM15.90 (termasuk GST), pelanggan boleh mendapatkan akses untuk menonton saluran istimewa ini secara berterusan selama tiga hari atau 72 jam dari waktu pembelian.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments