Permata Hati Gandingkan Zul Ariffin dan Elaine Daly di Astro First Eksklusif

Permata Hati Zul Ariffin dan Elaine Daly
Astro First Eksklusif (saluran 480) membawakan sebuah filem televisyen hebat berkonsepkan muzikal drama berjudul ‘Permata Hati’ yang bakal menemui penonton di kaca televisyen bermula 26 Januari 2017.

Filem TV berdurasi 1 jam dan 50 minit ini mengisahkan pergolakkan yang berlaku dalam sebuah keluarga bahagia selepas dikejutkan dengan kemunculan anak tidak sah taraf hasil dari perhubungan sulit seorang suami ketika bertugas di negara luar.

Perkara ini hanya diketahui selepas sembilan tahun yang mana menyebabkan keharmonian banyak pihak tidak semena-mena diragut dek kerana titik hitam yang terpalit di atas perbuatan seorang lelaki yang digelar suami dan bapa ini.




‘Permata Hati’ merupakan sebuah naskhah istimewa milik seorang figura yang cukup dikenali di kalangan penggiat seni tanah air, Dato’ Sri Raja Rezza Shah yang mana beliau turut bertindak sebagai pengarah bersama dan bekerjasama dengan seorang lagi sutradara hebat yang tidak asing lagi, saudara Feroz Abdul Kader.

Naskhah ini merupakan hasil usaha sulung syarikat penerbitan Dato’ Sri Raja Rezza Shah sendiri, Nusantara Gems Sdn. Bhd. dan ia dijayakan oleh pelakon-pelakon terkemuka tempatan seperti Zul Ariffin, Elaine Daly, Elfira Loy, Edika Yusuf, Zoey Rahman, Danny X Factor, Dato’ Ziela Jalil, Liza Abdullah dan ramai lagi.

Menarik lagi, ‘Permata Hati’ turut menyaksikan penglibatan barisan pelakon tersohor dari negara jiran Indonesia seperti Wulan Guritno, Teuku Zacky, Amanda Soekasah dan pelakon cilik, Cahaya Rizky Saputra.

‘Permata Hati’ mengupas konflik kekeluargaan yang berlaku dalam keluarga Aizuddin (Zul Ariffin) dan isterinya, Sofea (Elaine Daly) serta anak tunggal mereka, Liz (Elfira Loy).

Sinopsis Permata Hati

Kebahagiaan hidup mereka sekeluarga mula tergugat selepas Aizuddin menerima panggilan telefon daripada sahabat beliau, Herman (Teuku Zacky) yang membawa perkhabaran tidak diduga apabila dimaklumkan bahawa beliau mempunyai seorang anak lelaki bernama Alexander (Cahaya Rizky Saputra) hasil dari perhubungan sulit beliau yang terjalin singkat bersama Sandra (Wulan Guritno), seorang wanita Eropah beberapa tahun yang lalu.

Permata Hati Zul AriffinBetapa hancurnya hati seorang isteri apabila kesetiaan dan kasih sayang yang dicurah dibalas dengan kecurangan.

Betapa hancurnya hati seorang anak apabila lelaki bergelar bapa yang disanjung dan dihormati melakukan perbuatan terkutuk.

Gagah mengumpul segala sisa kekuatan dan kepercayaan yang tinggal, Sofea yang juga seorang mualaf bersama anaknya sedaya upaya cuba menerima kehadiran Alexander dalam hidup mereka. Masa berlalu dan hubungan mereka empat sekeluarga semakin rapat.

Namun begitu, kebahagiaan yang baru singgah teruji lagi tatkala undang-undang menuntut Alexander untuk pulang ke Eropah bagi menyempurnakan wasiat mendiang ibunya, Sandra, sekaligus menafikan permohonan Aizuddin untuk mendapatkan hak penjagaan ke atas anak lelakinya itu.

‘Permata Hati’ turut menampilkan sebuah lagu tema bertajuk sama, Permata Hati, yang dipersembahkan oleh penyanyi yang cukup versatil, Nassier Wahab, hasil gubahan semula komposer terkenal, Azman Abu Hassan.

Filem muzikal drama ‘Permata Hati’ boleh ditonton di Astro First Eksklusif, saluran 480 mulai 26 Januari 2017. Dengan hanya RM15.90 (termasuk GST) untuk sebuah filem, penonton boleh menyaksikan filem ini berulang kali dalam tempoh 48 jam dari waktu pembelian.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments