Rockanova Terbitan Astro Prima Angkat Martabat Muzik Rock

Rockanova Angkat Martabat Muzik Rock
Astro Prima mengambil inisiatif baharu dengan mengangkat muzik aliran rock yang pernah mencetuskan fenomena luar biasa dalam arena muzik tempatan pada pertengahan tahun 1980-an menerusi program realiti terbaharu berjudul Rockanova.

Ia bakal disiarkan di saluran rasmi Astro Prima (105) dan siaran serentak di Maya HD (135) bermula 29 Mac kelak.

Rockanova ialah sebuah pencarian bakat yang berkonsepkan pertandingan nyanyian untuk mencungkil bakat nyanyian di kalangan peminat muzik rock.





Penyertaan adalah terbuka kepada semua warga Malaysia dan Singapura dan tidak boleh terikat dengan sebarang kontrak rakaman mahupun pengurusan dengan mana-mana syarikat.

Bagi merancakkan lagi penganjuran musim yang pertama, kombinasi tiga ikon muzik dengan latar belakang port folio dan reputasi yang cukup disegani dalam persada muzik tanah air telah dilantik untuk menjayakan penerbitan Rockanova musim ini.

Rocker terkenal, Dato’ Awie dan komposer popular tanah air, Edry Abdul Halim bakal digandingkan bersama sebagai Juri Tetap yang akan dipertanggungjawabkan untuk menilai persembahan para peserta berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

Manakala Dato’ Hattan pula dilantik sebagai Guru Vokal dan Persembahan yang bakal memberikan khidmat bimbingan dan tunjuk ajar kepada para peserta supaya mereka benar- benar bersedia untuk menjadi pelapis sekaligus memberikan saingan kepada penghibur sedia ada.

Tambah istimewa, kesemua ikon muzik tersohor ini juga turut dilantik sebagai juri tetap untuk sesi uji bakat bagi mengenal pasti calon-calon berpotensi untuk diketengahkan yang bakal diadakan pada 18 dan 19 Februari 2017 di Anggerik Mall, Shah Alam.

Menyedari perubahan bentuk komunikasi pengguna masa kini yang bersifat digital dan lebih interaktif, produksi Rockanova mengambil langkah proaktif untuk mendekati golongan sasaran dengan menjalankan uji bakat secara online.

Ia merupakan laluan pantas atau fast track yang mana calon peserta juga boleh memilih untuk menghantarkan penyertaan dengan memuat naik video nyanyian mereka dengan menggunakan kata kunci atau hashtag #bakatrockanova menerusi laman sosial Instagram.

Selain itu, calon peserta juga diberi pilihan untuk menyertai sesi uji bakat menerusi platfrom radio rasmi Rockanova iaitu Sinar FM di segmen petang, Santai Sinar yang dikendalikan oleh penyampai radio Salleh Yaacob dan Feeya Iskandar.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments