Drama Terbaru di HyppTV – Di Sebalik Wajah

Di Sebalik WajahHyppTV memperkenalkan drama terbaru ‘Di Sebalik Wajah’, sebuah drama bersiri romantik thriller yang akan ditayangkan buat pertama kali dan secara eksklusifnya di HyppSensasi (HyppTV Saluran 116) bermula 1 Mei 2017, setiap hari Isnin dan Selasa, jam 9.00 malam.

Drama bersiri selama 30 episod ini diterbitkan oleh Filmscape Sdn Bhd dan diarahkan oleh Patrick Lim, serta menampilkan barisan pelakon seperti Diana Danielle, Aliff Aziz, Hefny Sahad, Zarina Zainoordin, Anwar Khan dan ramai lagi.

‘Di Sebalik Wajah’ menampilkan jalan cerita karya beberapa orang penulis skrip – Eenaz Mokhtar, Farah Alya As’ari dan Farah Bani – yang mengisahkan tentang Nadia (Diana Danielle) yang tersedar dari koma selepas beliau terlibat dalam satu kemalangan kereta ngeri dan kemudian menjalani pembedahan di wajahnya.

Tanpa sebarang memori lampau mengenai dirinya, dan tanpa mengingati siapa dirinya yang sebenar, Nadia dihantui dengan ilusi dan panggilan telefon daripada satu suara misteri yang menyuruh beliau membunuh suaminya sendiri, Amir Hisyam (Aliff Aziz) yang merupakan seorang pewaris kepada syarikat pembangunan hartanah terkemuka di Malaysia.

Nadia terus menjadi keliru apabila beliau mula mengenali seorang lelaki bernama Fared Hanafi atau dikenali sebagai Red (Hefny Sahad), seorang wartawan penyiasat yang mempunyai seorang teman wanita dan rakan sekerja bernama Elisa (Zarina Zainoordin) yang telah hilang pada hari yang sama semasa Nadia mengalami kemalangan.





Perkara-perkara yang berlaku secara kebetulan ini menjadikan Red lebih bersemangat untuk menjalankan penyiasatan beliau secara lebih terperinci, dan dengan bantuan Nadia, mereka terus mencari petunjuk sehinggalah membawa kepada perkara-perkara yang tidak dijangka dan membongkar rahsia sebenar.

Maklumat-maklumat yang ditemui, mungkin dapat membantu Nadia untuk mengetahui siapa dirinya yang sebenar.

Bagaimanakah pengakhiran perhubungan di antara Nadia dan Amir? Adakah Nadia dan Red mampu untuk menjejaki Elisa semula?

Jalan cerita ini akan menjadi lebih menarik di dalam ‘Di Sebalik Wajah’ di mana penonton akan terus mengikuti perjalanan Nadia untuk merungkai misteri di sekelilingnya.

Plot penceritaan yang menarik ini nyata mampu membuat penonton tidak berganjak dan terus menonton drama bersiri ini.


‘Di Sebalik Wajah’ merupakan drama bersiri ketiga yang diterbitkan secara eksklusif untuk HyppTV pada tahun ini.

Baru-baru ini, HyppTV telah memperkenalkan ‘Pembancuh Kopi Mr Vampire’ satu lagi drama bersiri eksklusif di HyppTV yang telah ditayangkan pada 15 Mac 2017, jam 9.00 malam setiap hari Rabu dan Khamis.

Untuk maklumat lanjut mengenai penawaran HyppTV layari www.tm.com.my/hypptv

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments