Persis ‘Mimpi’ Single Terbaru Setelah Bertahun Menyepi

Persis Mimpi Single Terbaru
Kumpulan rock tanahair multi-talented yang pernah tercalon top 5 dalam Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) AIM 21 pada tahun 2014, Persis muncul dengan single terbaru berjudul ‘Mimpi’ ciptaan ahli kumpulan itu sendiri iaitu saudara Khairul Nizam Idris setelah beberapa tahun menyepi.

Kumpulan yang sinonim dengan genre modern dan progressive rock ini dianggotai lima jiwa pemuzik tegar berpengalaman besar iaitu Khairul Nizam Idris (vokal), Mohamad Izwan Talhah (gitar), Wan Zulfizrin Mohd. Zin (gitar), Rajwan Juni (drum) dan Nor Zahari Zakaria (bass).





‘Mimpi’ merupakan sebuah lagu bergenre modern rock yang merupakan trademark Persis sejak pertama kali diperkenalkan.

Alunan muzik yang tidak begitu ‘keras’ dan sedap didengar merupakan intipati utama dan bakal menggamit halwa telinga penggemar muzik rock tempatan.

Lagu ini berkisar mengenai luahan jiwa seseorang yang harus akur dengan perpisahan dan terpaksa menerima takdir bahawa kekasihnya telah menemui cinta lain.

Walaupun perit untuk menerima hakikat, cintanya terhadap bekas kekasih tetap utuh dan hanya mampu melihat kebahagiaan orang tersayang dari jauh dan kadang-kadang terasa seakan-akan ‘Mimpi’.

Bagi Pihak Sony Music Entertainment Malaysia pula,

Mereka yakin bahawa dengan terlahirnya single terbaru ini dapat mengubati rindu peminat Persis yang tertunggu-tunggu buah tangan terbaru kumpulan ini serta memberitahu peminat di luar sana bahawa Persis masih lagi bertapak di persada muzik Malaysia dengan teguhnya.

‘Mimpi’ kini boleh dimuat-turun di iTunes dan stream menerusi portal muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX Music, KKBox, Raku, Spotify dan Yonder Music.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments