Oh My English! – Level Up Tampil Beberapa Muka Baru

Oh My English! Level Up!
‘Oh My English!’ musim ini bakal menyaksikan SMK Ayer Dalam, kembali riuh rendah dengan kehadiran barisan pelajar dan beberapa orang guru baharu.

Dengan jumlah keseluruhan sebanyak 26 episod, durasi 15 minit yang diperuntukkan bagi setiap episod ‘Oh My English! – Level Up’ akan dipadatkan dengan dialog dan gelagat lucu para pelajar baharu kelas 3 Merah.

Dengan kehadiran muka-muka baharu, musim ini akan memberi penekanan terhadap pengenalan dan pembinaan karekter bagi setiap watak serta penerapan pertuturan Bahasa Inggeris.

Pelbagai situasi menarik berlaku semasa sesi pembelajaran yang telah menonjolkan sisi peribadi setiap pelajar dan guru baharu di sekolah tersebut.




Watak-watak dalam Oh My English! – Level Up

Oh My English! Level Up!
Musim ini menandakan musim keenam siri ‘Oh My English!’ bersiaran, dan terdapat beberapa watak baru dan watak lama yang kembali memeriahkan rancangan ini, antaranya

  • Mr. James Blond (Mark O’Dea) yang bertanggungjawab mengajar subjek Bahasa Inggeris. Beliau mempunyai perwatakan yang berbeza dengan guru Bahasa Inggeris pada musim sudah iaitu Mr. Middleton lakonan Zain Saidin. Mr. James Blond seorang yang kelam kabut dan bersahaja. Pada masa yang sama, beliau cuba untuk menawan hati para pelajar namun niat beliau sering disalah anggap dan mengundang padah pada diri sendiri.
  • Zack (Juzzthin) agak berbeza pada musim ini kerana dalam musim terdahulu, Zack merupakan pelajar di sekolah tersebut dan kini kembali sebagai guru sandaran, dengan menyarung jersi guru Muzik.
  • Jojie (Nadiya Nisaa) beliau juga kembali ke sekolah sebagai Cikgu Jojie yang mengajar subjek Pendidikan Jasmani (PE).
  • See Yew Soon (Roax Tan) juga kembali membuat penampilan istimewa dengan membawa watak sebagai abang salah seorang pelajar baharu, See Mi Nau.
  • Cikgu Lakshmi cikgu drama lakonan Krishnasamy yang merupakan Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-29
  • Ronaldo (Fimie Don) seorang Ketua Kelas yang sentiasa mahukan kelas 3 Merah menjadi kelas terbaik di SMK Ayer Dalam.
  • Danial (Harris Alif), seorang pelajar macho yang bercita-cita untuk menjadi pemain muzik.
  • Sam (Timothy Deeran) seorang pemain permainan video tegar yang pendiam.
  • Amelia (Yuna Rahim) seorang pelajar bijak tetapi sering gagal dalam peperiksaan dengan sengaja.
  • Mawar (Nur Shahidah Abdullah) seorang yang suka berniaga dan menjadikan selebriti-selebriti berjaya sebagai idola beliau.
  • Fiona (Qistina Enara) seorang pelajar ceria yang sentiasa bersungguh-sungguh membuktikan kebijaksanaan beliau kepada rakan, See Mi Nau.
  • See Mi Nau (Chen Su Ee) adik perempuan kepada See Yew Soon.
  • Wan Yunus (Izzy Reef), pelajar berasal dari Kelantan yang mempunyai keyakinan diri yang rendah dan sering bercakap dalam Bahasa Inggeris dengan loghat Kelantan yang mencuit hati.

Watak-watak guru lain seperti dalam musim-musim sudah yang masih dikekalkan termasuklah Pengetua sekolah, Puan Hajar (Adibah Noor), guru Matematik; Miss Soo (Carmen Soo) dan Cikgu Bedah (Sherry Al-Hadad).

Turut menyertai barisan guru yang sedia ada ini adalah Encik Yusof, lakonan Tauke Raja Lawak yang bertindak sebagai Penolong Pengetua.

Rancangan sitkom edutainment ini akan memulakan tayangannya, ‘Oh My English! – Level Up’, di Astro TVIQ (saluran 610) dan siaran serentak dalam definisi tinggi di Astro Maya HD (saluran 135) pada setiap hari Ahad mulai 1 Oktober 2017, jam 6.30 petang.

Anda juga boleh memilih untuk menonton secara percuma menerusi aplikasi Astro GO dan ‘on demand’, pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments