‘Wayang’ Single Sulung Farhan Mustapha Setelah Bertahun Bergelar Penyanyi

Farhan Mustapha
Finalis pertandingan nyanyian Bintang RTM pada tahun 2012, Mohd Farhan Mohd Mustapha, 21, atau lebih dikenali dengan nama Farhan Mustapha akhirnya muncul dengan single sulung setelah beberapa tahun memperjuangkan nasib sebagai seorang penyanyi di dalam industri muzik Malaysia.

Single sulung Farhan yang berjudul ‘Wayang’ merupakan hasil ciptaan beliau sendiri dan turut berkolaborasi dengan penyanyi serta komposer muda berbakat besar Jiwa Firdaus dan Ammar Jai.

Farhan yang sinonim dan lebih selesa menyanyikan lagu-lagu bergenre balada turut merupakan salah seorang peserta program televisyen realiti Mentor Milenia 2017 baharu-baharu ini.




Single ‘Wayang’ merupakan sebuah lagu yang menceritakan tentang kisah penipuan dalam sesetengah hubungan percintaan di mana pasangannya samada lelaki ataupun perempuan hanya berlakon atau berpura-pura seolah-olah bermain ‘wayang’ semata-mata demi
menunjukkan perasaan cinta kepada pasangannya.

Akhirnya kesemua tembelangnya itu pecah dan ternyata apa yang dipamerkan hanyalah dusta dan kemudian menyedari bahawa semua yang dilalui ibarat sebuah ‘wayang’.

Idea asal lagu ‘Wayang’ ini datangnya dari diri beliau sendiri dan pada masa yang sama juga mendapat bantuan abang serta sahabatnya iaitu saudara Jiwa Firdaus dan Ammar Jai.

Dalam masa yang sama beliau amat bersyukur dan sangat teruja apabila pihak Rocketfuel Entertainment menyatakan hasrat mereka untuk menjadikan beliau sebagai artis di bawah naungan mereka kerana kepercayaan yang diberikan terhadap bakat nyanyiannya.

“Saya berharap agar single ‘Wayang’ ini dapat diterima baik oleh peminat-peminat lagu bergenre balada tempatan dan semoga single sulung ini membuka jalan serta ruang untuk saya memulakan karier sebagai seorang penyanyi profesional”

Lagu ‘Wayang’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music. Video lirik ‘Wayang’ ini juga boleh ditonton di saluran Youtube Rocketfuel Network.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments