Program ‘Mingguan Wanita’ Musim Ke-2 di Astro Prima

Program ‘Mingguan Wanita’ Musim Ke-2 di Astro Prima

Hos ‘Mingguan Wanita’ di Astro Prima
Program ‘Mingguan Wanita’ ialah sebuah program bual bicara khusus buat golongan wanita terbitan Astro Prima dengan kerjasama strategik bersama pihak Karangkraf menerusi Nu Ideaktiv Sdn. Bhd.

Kembali serba baharu untuk musim yang kedua, ‘Mingguan Wanita’ masih mengekalkan kandungan format asal yang dirangka untuk mengetengahkan pelbagai topik dan perkongsian menarik mengenai wanita, hal ehwal rumah tangga dan isu-isu kekeluargaan merangkumi kupasan komprehensif mengenai isu-isu semasa berkaitan kesihatan, kecantikan, fesyen, kemanusiaan, gaya hidup, pengembaraan, motivasi dan sebagainya.

Namun begitu, terdapat pengisian elemen baharu turut diperkenalkan untuk menambah baik kandungan format asal agar kekal relevan untuk tontonan masyarakat masa kini.

Bagi merancakkan lagi penerbitan musim terbaharu, lima selebriti popular serta tiga personaliti terkenal tanah air bakal digandingkan buat pertama kalinya sebagai hos bersama yang akan mengendalikan episod harian secara bergilir-gilir selama lima hari seminggu.

Siaran langsung ‘Mingguan Wanita’ akan berdurasi selama 60 minit sepanjang 155 buah episod dan bakal bersiaran secara eksklusif pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 11.00 pagi mulai 8 Julai 2019 secara eksklusif di saluran Astro Prima (105) dan Prima HD (121).

Untuk pilihan yang fleksibel, ‘Mingguan Wanita’ juga turut boleh diakses menerusi aplikasi Astro Go dan perkhidmatan ‘on demand’.




Trivia ‘Mingguan Wanita’

  1. Lima selebriti popular tanah air yang telah dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan ‘Mingguan Wanita’ selaku hos bersama ialah Siti Elizad, Erra Fazira, Sherry Alhadad, Norman Hakim dan Radin Amir (ERA). Manakala tiga personaliti terkenal dalam bidang masing-masing yang turut diberi mandat yang sama adalah Dato’ Fadzilah Kamsah, Prof. Dr Muhaya dan Imam Muda Ashraf.
  2. Kesemua mereka akan digandingkan secara bergilir-gilir pada setiap episod yang bakal membincangkan topik harian berdasarkan tema yang berbeza setiap hari sepanjang musim ini bersiaran.
  3. Pasangan hos untuk setiap hari Isnin ialah Siti Elizad dan Erra Fazira yang bertemakan topik perbincangan tentang ‘Kesihatan & Kecantikan’. Antara kupasan menarik yang bakal dibawakan ialah berkenaan trend pemakaian bulu mata palsu menggunakan teknik pemanjangan atau ‘extension’, isu ‘body shaming’ dan fesyen khusus untuk golongan yang bertubuh gempal (plus size).
  4. Manakala pasangan hos untuk setiap hari Selasa pula ialah Siti Elizad dan Radin Amir (ERA) untuk mengendalikan tema ‘Kemasyarakatan & Gaya Hidup’. Antara perbincangan menarik yang bakal diselami ialah mengenai isu ‘Rich Kid Syndrome’ serta ‘Suri Rumah VS Wanita Bekerjaya’.
  5. Untuk setiap hari Rabu, Siti Elizad dan Sherry Alhadad akan bergandingan untuk mengendalikan tema ‘Makanan & Travelog’ yang membincangkan topik berkenaan makanan, minuman dan percutian yang tular di kalangan masyarakat. Contoh perbahasan adalah mengenai budaya melancong tanpa mengenal usia dan sebagainya.
  6. Siti Elizad, Erra Fazira & Norman Hakim akan bergilir-gilir mengendalikan topik perbincangan yang bertemakan ‘Cerita Dalam Kain’ pada setiap hari Khamis. Antara topik menarik yang akan diketengahkan termasuklah isu ‘Cinta atau Suka-Suka’, peranan isteri sebagai ketua keluarga dan banyak lagi.
  7. Tema pada setiap hari Jumaat pula ialah ‘Motivasi, Inspirasi & Kerohanian’ dan akan dikendalikan oleh Siti Elizad yang digandingkan secara bergilir-gilir setiap minggu bersama Dato’ Fadzilah Kamsah, Prof. Dr Muhaya dan Imam Muda Ashraf. Antara topik menarik ialah perbincangan mengenai ‘Membina Hidup Semula Selepas Kehilangan’ dan ‘Jari Ke Neraka’.
  8. Seiring dengan perkembangan lanskap perkongsian digital, program ‘Mingguan Wanita’ juga akan diaktifkan menerusi laman media sosial termasuklah di Instagram, Facebook dan Whatsapp Hotline yang menggalakkan orang ramai untuk berkongsi pengalaman peribadi yang akan turut diketengahkan sewaktu topik perbincangan harian.

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments

Penulis blog hiburan Hye Bro! & gaya hidup sepenuh masa di Broframestone.com dan Social Media Influencer. 10 tahun terlibat dengan dunia hiburan sebagai Media & kini banyak luangkan masa dengan keluarga