Zed Zaidi mengesahkan hasratnya untuk bertanding jawatan Exco Pergerakan Pemuda Umno pada pemilihan parti Oktober depan.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian pergerakan UMNO telah membuat keputusan setelah mendapat sokongan padu daripada ahli pergerakan itu seluruh negara.
Sekarang beliau dalam proses kempen dan perkenalkan diri dan telah melawat beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan dan Kedah untuk berjumpa dengan pemuda-pemuda di sana.
Matlamat utama untuk beliau bertanding jawatan tersebut adalah bagi menjadi wakil daripada golongan seni untuk memberi pendapat selain menjadi orang tengah kepada pucuk pimpinan.
“Saya merupakan artis pertama yang bertanding dalam pemilihan ini. Bagi saya ia dapat memberi peluang kepada pihak parti untuk mengetahui suara sebenar dan masalah dalam industri yang orang luar industri tidak tahu.
Selain itu, saya mahu Umno memberi peluang kepada golongan muda dan artis untuk sama-sama dalam memperjuangkan parti. Kita ada di kalangan artis yang beralih dengan menyokong pihak pembangkang kerana mereka diberi peluang untuk bersuara dalam parti pembangkang tersebut.”
Dengan adanya laluan tersebut beliau berharap dapat mengubah landskap industri seni ke arah yang lebih baik dan terbela.
Zed yang juga Presiden Seniman Malaysia (Seniman) berkata, jawatan dan tanggungjawabnya dalam Seniman tidak akan terjejas jika dia terpilih memegang jawatan dalam Pemuda Umno.
Pendaftaran penamaan calon untuk pergerakan sayap pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri parti itu akan dilakukan pada 21 September depan.
Tinggalkan Komen Anda
Powered by Facebook Comments
1 Comments
Comments are closed.