Konsert AWIE ROMANTIKA Rai Ulangtahun ke-25 Sebagai Artis Solo

Konsert AWIE ROMANTIKA Rai Ulangtahun ke-25 Sebagai Artis Solo

Bagi meraikan ulangtahun ke-25 perjalanan seni sebagai artis solo, Datuk Awie bakal mempersembahkan sebuah konsert istimewa bertemakan cinta berjudul KONSERT AWIE ROMANTIKA.

Konsert ini bakal dipersembahkan di Stadium Malawati Shah Alam pada 15 Februari 2020, Jam 8:00 malam.

Sekiranya sebelum ini Awie lazim muncul dalam konsert bersama Wings, konsert yang menggandingkannya bersama lagenda rock tempatan seperti Ella, atau konsertnya bersama band projeknya Dragon Malaya.

Kali ini KONSERT AWIE ROMANTIKA bakal menyajikan kelainan apabila buat pertama kalinya selepas hampir 25 tahun, Awie tampil dengan konsert solo.

Kali terakhir Awie tampil solo dalam sesebuah konsert adalah menerusi konsert solo perdananya, Konsert Awie Live Unplugged di Live Centre KL pada tahun 1995.

Dalam konsert anjuran bersama Atirox Ltd dan IK Global Berhad ini, Awie bakal mempersembahkan seleksi lagu dari katalog album-album solonya yang diberikan susunan muzik yang lebih segar.

Persembahan Awie bakal diiringi oleh pemuzik-pemuzik handalan dibawah pimpinan pengarah muzik terkenal.

“Konsert ini diadakan atas dasar meraikan ulangtahun jubli perak saya dalam dunia nyanyian solo. Untuk konsert ini saya cuba tampilkan persembahan berkonsepkan konsert teatrikal/muzikal yang mengangkat tema romantika,” – Awie.

Konsert AWIE ROMANTIKA

Peminat boleh menjangkakan mereka bakal dihiburkan dengan gabungan lagu hits malar segar Awie yang suatu masa dahulu pernah membawanya ke pentas berprestij Anugerah Lagu, memenangi anugerah berprestij di Anugerah Industri Muzik dan mengangkatnya sebagai antara vokalis lelaki terunggul di Malaysia.

Lagu seperti Tragedi Oktober, Ukiran Jiwa, Di Bayang Awan, Ratuku, Di Penjara Janji, Alif Ba Ta Duniaku dan banyak lagi yang pastinya akan membawa peminat mengimbau kembali tahun-tahun mereka bersama Awie.

“Istimewanya konsert bertema romantika yang dibawakan secara muzikal/teatrikal ini, sedikit sebanyak bakal membawa penonton mengimbau kembali zaman mereka masih muda, zaman ketika mereka baru mengenal erti cinta, ketika mereka baru merasa sakitnya patah hati, kisah cinta sebelum dan selepas ikatan perkahwinan.

Pastinya konsert ini menjanjikan suatu pengalaman yang berbeza.”

Tiket KONSERT ROMANTIKA dijual bermula dengan harga RM88, RM128, RM188, RM238, RM308 dan RM438. EARLY BIRD 20% daripada harga semua tiket bermula 1hb Oktober 2019 hingga 30hb November 2019.

Tiket boleh dibeli secara online di: https://myticket.asia

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments

Penulis blog hiburan Hye Bro! & gaya hidup sepenuh masa di Broframestone.com dan Social Media Influencer. 10 tahun terlibat dengan dunia hiburan sebagai Media & kini banyak luangkan masa dengan keluarga