Kurang dua bulan dari konsert Inspirasi Afgan Live di Kuala Lumpur 2019, namun sebanyak 75% tiket konsert telah terjual!
Itulah penangan penyanyi terkemuka dari Indonesia, Afgan atau nama sebenar Afgansyah Reza yang bakal kembali ke Kuala Lumpur untuk mengadakan konsert Inspirasi Afgan Live di Kuala Lumpur 2019 yang turut menampilkan Dato’ Shiela Majid pada 5 Oktober 2019 (Sabtu), 8.30 malam bertempat di HGH Convention Centre, Kuala Lumpur.
“Konsert ini berkisar mengenai sumber inspirasi dalam kerjaya seni saya selama ini dan diharap ianya dapat menaikkan semangat penonton untuk terus berusaha dalam mencapai apa yang diimpikan dalam hidup.
Selain itu, konsert ini cukup istimewa dengan kehadiran idola saya Dato’ Shiela Majid dan ia merupakan satu penghormatan dan impian saya untuk mengadakan persembahan bersama beliau khususnya buat peminat di Malaysia”
Gabungan dua penyanyi tersohor Indonesia dan Malaysia ini pasti memberi satu energi luar biasa dan kepuasan kepada peminat muzik tanah air.

Inspirasi Afgan Live di Kuala Lumpur 2019 merupakan konsert terakhir Afgan sebelum beliau berehat seketika dari industri muzik setelah hampir 11 tahun berkarya tanpa henti dan ini memberi peluang buat beliau untuk menghasilkan karya lebih segar di masa hadapan.
Keputusan untuk menganjurkan konsert pelantun lagu Terima Kasih Cinta ini dianggap pilihan yang tepat bagi Popcorn Studio Sdn Bhd kerana semenjak tahun 2015 hampir setiap tahun Afgan mengadakan konsert berskala besar di Malaysia.
Popcorn Studio Sdn Bhd juga telah menganjurkan tiga peraduan menerusi media sosial buat peminat setia Afgan iaitu “Tag & Win” (2 tiket VIP), Smule “Bintang Inspirasi” (2 tiket Gold dan berpeluang bertemu Afgan) dan “Tag & Share” (2 tiket Silver) dan sambutan yang diterima amat menggalakkan.
Selain Popcorn Studio Sdn Bhd, konsert ini turut mendapat tajaan dan kerjasama dari HGH Convention Centre, Durian King TTDI, Ganad, Redbox dan Greenbox.
Peminat Afgan masih belum terlambat untuk mendapatkan tiket konsert dengan melayari https://proticket.com.my/inspirasi2019-afganliveinkualalumpur/ .
Tiket dijual pada harga RM299 (Silver), RM399 (Gold), RM599 (VIP) dan RM1200 (Royal Box) dan pembeli tiket Royal Box bakal menerima pas Meet and Greet dan minuman ringan sebelum konsert.
Tinggalkan Komen Anda
Powered by Facebook Comments