#TomTomBak Kembali – Lebih Bertenaga, Kecomelan Berganda

#TomTomBak Kembali – Lebih Bertenaga, Kecomelan Berganda

Kekal diterajui pengacara tersohor negara, Datuk Aznil Hj. Nawawi, #TomTomBak musim terbaharu turut dijayakan nama-nama popular industri seperti Ramlah Ram, Kid Search, Ernie Zakri, Elfira Loy dan Sweet Qismina.

Astro Ceria dengan berbesar hati melancarkan #TomTomBak musim terbaharu! Setelah 8 tahun tidak bersiaran, dengan menggunakan stail nama yang seiring dengan peredaran masa (meletakkan tanda pagar di hadapan), program popular di kalangan kanak-kanak, #TomTomBak kembali menceriakan penonton mulai 6 September 2019, setiap Jumaat, 8.30 malam di Astro Ceria (saluran 611). Program ini juga boleh diakses menerusi On Demand dan distrim di Astro GO.

Mengimbas nostalgia, ‘Tom Tom Bak’ merupakan sebuah rancangan yang mempersembahkan aneka bakat dan ragam si cilik, telah mula bersiaran di saluran kanak-kanak nombor 1 di Malaysia, Astro Ceria, pada tahun 2007 dan melabuhkan tirainya pada tahun 2011.

Sudah tentu, #TomTomBak kembali beraksi bersama pengacara tersohor negara, Datuk Aznil Hj. Nawawi atau lebih mesra dengan sapaan Pak Nil yang menggalas tanggungjawab sebagai pengemudi utama / hos rancangan.

TomTomBak Pak Nil

“Sejujurnya, #TomTomBak merupakan satu jenama yang mempunyai kedudukan istimewa dalam hati saya. Bertitik tolak dari perbincangan di antara saya dan pihak produksi, kami bersetuju untuk mengembalikan kegemilangan #TomTomBak dan mempersembahkannya kepada generasi muda pada hari ini.” – Pak Nil

#TomTomBak turut menyasarkan golongan dewasa sebagai audiensnya, justeru penelitian dari aspek pemilihan kandungan begitu dititikberatkan oleh pihak produksi.

Uniknya musim kali ini, #TomTomBak bakal membawa tiga segmen utama yang pasti mampu memenangi hati penonton.

Di segmen ‘Ada Bakat’, terdapat persembahan yang penuh variasi dari bintang-bintang cilik termasuklah bermain gitar, menari gelek ‘ala’ Bollywood, bakat bercerita, ‘catwalk’ pertunjukan fesyen, persembahan kompang dan banyak lagi bakat-bakat unik yang lain.

Seterusnya, segmen ‘Jom Borak’ akan menyaksikan keletah anak comel berceloteh bersama Pak Nil yang boleh membuatkan anda tidak kering gusi. Manakala di segmen ‘Ada Berani?’ pula, produksi menyuntik elemen ‘interaktif’ yang mana ia bukan sahaja mencabar bakat kanak-kanak yang membuat persembahan, malahan hos, tetamu-tetamu jemputan dan audiens di studio juga perlu beraksi di pentas utama apabila dicabar hos.

Beranikah mereka? Kita saksikan #TomTomBak musim terbaharu mulai 6 September ini!

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments

Penulis blog hiburan Hye Bro! & gaya hidup sepenuh masa di Broframestone.com dan Social Media Influencer. 10 tahun terlibat dengan dunia hiburan sebagai Media & kini banyak luangkan masa dengan keluarga