Yang Ku Rindu Serlah Kehebatan Vokal Idayu

Yang Ku Rindu Serlah Kehebatan Vokal Idayu

Kualiti vokal Juara Akademi Fantasi Megastar ini tidak perlu dipertikaikan lagi.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan Idayu antara penyanyi wanita yang memiliki ‘vocal power’ sekali gus meletakkan dirinya di kelas tersendiri.

Kehebatan vokal dimiliki Idayu, 34, atau nama sebenarnya Nur Farah Idayu Yaakob turut terserlah apabila dapat meniru suara beberapa penyanyi popular hingga tular di Internet.

Enggan menunggu lama, Idayu yang sebelum ini muncul dengan Ganti Diriku yang juga lagu tema drama Nur, kini mempertaruhkan pula lagu Yang Ku Rindu hasil ciptaan Yunfadzil, Yazer Yusof dan Jass serta lirik oleh Ikhwan Fatanna dan Yazer Yusof.

Idayu berkata, Yang Ku Rindu mempunyai kekuatan dari segi susunan muzik dan ia berbeza daripada kebanyakan single yang pernah dihasilkan sebelum ini.

“Saya berasakan lagu ini amat berbeza dari segi susunan muzik jika mahu dibandingkan dengan single terdahulu. Bunyinya lebih matang dan saya dapat menonjolkan lagi kemampuan vokal saya.

Sejujurnya, sudah lama saya tidak mendapat lagu seperti ini sejak lagu Kasih Yang Terpisah ciptaan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hasan dan Putus ciptaan Yunfadzil. Jadi, saya melihat dua eleman ini sebagai kekuatan dan kelebihan lagu ini,”




Menurut Idayu, bagi mendapatkan hasil terbaik, lagu itu melalui beberapa kali proses penambahbaikan dari semasa ke semasa terutamanya susunan muzik. Ia dibuat dengan teliti untuk menghasilkan kesinambungan lagu yang baik dan mempunyai elemen kejutan.

Proses rakaman vokal pula mengambil masa hanya dua jam memandangkan saya sudah dapat lagu ni agak lama. Jadi ia sudah sebati dan tahu hala tuju lagu ini. Sementara proses ‘mixing’ dan ‘mastering’ pula mengambil masa tiga minggu untuk mendapatkan hasil yang terbaik,” katanya.

Berkongsi mengenai kerjasamanya dengan ketiga-tiga komposer itu, Idayu berkata setiap daripada mereka mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri.

“Saya senang bekerjasama dengan Yazer kerana sudah lama berkawan baik iaitu sejak daripada Akademi Fantasia musim ketiga lagi. Terus terang saya masih belum pernah bertemu dengan Jass kerana dia menetap di Sabah.

Sementara, Yunfadzil pula adalah suami saya dan tentunya dia lebih memahami kehendak dan cita rasa saya dalam lagu. Susunan lagu yang dihasilkannya sangat kena untuk mengimbangi kekuatan vokal saya,”

Apa yang pasti, Idayu mengharapkan magis lagu itu untuk membawa namanya ke depan dan dapat memuaskan hati semua orang terutamanya kepada peminat yang tidak pernah berhenti menyokong beliau selama ini.

Khas buat peminat Idayu lagu ‘Yang Ku Rindu’ edaran Seventeen Eleven Music Sdn. Bhd ini boleh dimuat turun di semua digital platform seperti Apple Music, iTunes, Spotify, JOOX, KKBOX dan Deezer.

Nantikan muzik video ‘Yang Ku Rindu’ bakal di lancarkan pada 16 Ogos ini!

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments

Penulis blog hiburan Hye Bro! & gaya hidup sepenuh masa di Broframestone.com dan Social Media Influencer. 10 tahun terlibat dengan dunia hiburan sebagai Media & kini banyak luangkan masa dengan keluarga