Zul Huzaimy Menang Selesa Minggu Ke-3 All Stars Buka Panggung

Zul Huzaimy Menang Selesa Minggu Ke-3 All Stars Buka Panggung

Minggu ketiga program ‘All Stars Buka Panggung’ yang penuh dengan gelak ketawa telah menyaksikan kemenangan pelakon popular tanah air, Zul Huzaimy atau juga dikenali sebagai ‘Spark’ sebagai Juara Mingguan.

Beliau membawa pulang sebuah trofi kemenangan, dan sekaligus melayakkan dirinya untuk terus ke minggu separuh akhir (Minggu Keenam)!

‘All Stars Buka Panggung’ merupakan sebuah program komedi dari Astro Warna yang mencabar para pelakon untuk melakonkan watak secara improvisasi, tanpa disediakan sebarang skrip.

Panggung Royal Theatre, Shah Alam menjadi gamat apabila memperlihatkan gelagat melucukan dari para peserta minggu ketiga, Zul Huzaimy, Fahrin Ahmad, Sharifah Sakinah, dan Sweet Qismina yang dibantu oleh pelakon tambahan kejutan seperti para pelawak Tauke Jambu dan Abam Bocey, serta jelitawan Wan Sharmilla dan pelakon legenda tanah air, Fauziah Nawi!

Zul Huzaimy dengan lakonan mantapnya sebagai pencuri rambutan yang bercinta dengan ‘gadis’ kampung iaitu ibu Fauziah Nawi rata-rata membuatkan audiens pecah perut seterusnya memilih untuk mengundi beliau! Dengan lakonan bersahaja sehebat itu, tidak mustahil ‘Spark’ diumumkan sebagai juara minggu ketiga dengan jumlah undian terkumpul sebanyak 52.95!

Tempat kedua pula diekori Sweet Qismina dengan 28.56%, yang melakonkan watak adik ahli Pandu Puteri yang menipu ayahnya dengan mengatakan beliau mendapat markah cemerlang sewaktu peperiksaan, sehinggalah Wan Sharmilla membuka pekung beliau – memang kelakar!

Melakonkan watak ‘Awek Korea’, Sharifah Sakinah pula berjaya meraih tempat ketiga dengan 13.57% – tak kering gusi dibuatnya apabila beliau mencuba sedaya upaya untuk memenangi hati ibu Fauziah Nawi kerana ingin berkahwin dengan anaknya!

Hero ‘sado’ Fahrin Ahmad pula mendapat tempat keempat dengan undian terkumpul sebanyak 4.92%. Melakonkan watak sebagai seorang budak ‘skema’, beliau kelihatan cukup terkejut apabila tiba-tiba dikacau Abam Bocey di kedai OPPO!

Wong Sip Nen All Stars Buka Panggung

Menariknya lagi, sebagai penghargaan kepada para seniman tanah air, pihak ‘All Stars Buka Panggung’ dengan kerjasama Persatuan Seniman Negara, menyampaikan bantuan sumbangan kebajikan dalam bentuk wang tunai RM4,000 kepada Wong Sip Nen.

Beliau merupakan seorang pelakon yang pernah beraksi di dalam filem ‘KL Gangster’ bersama Datuk Aaron Aziz, ‘Berlari Ke Langit’ bersama Saiful Apek dan filem ‘Kung Fu Faw’ gandingan bersama Syafie Naswip.

Jom sertai hos kami Ajak dan Shahrol Shiro bersama ‘Seri Dewi Panggung’, primadona Erra Fazira, dan peserta minggu keempat – Datuk Fizz Fairuz, Rita Rudaini, Ruhainies dan Johan As’ari – dan saksikan persaingan sengit antara mereka untuk merebut gelaran ‘Juara Mingguan’!

Juara Mingguan ini kemudiannya akan kembali di minggu keenam, iaitu minggu separuh akhir di mana mereka diperlukan untuk berentap sekali lagi demi memastikan kedudukan mereka di pentas akhir.

Hanya 4 orang peserta sahaja bakal beraksi di pusingan kemuncak bagi merebut gelaran juara seterusnya membawa pulang wang tunai sebanyak RM 50,000 dan sebuah trofi!

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments

Penulis blog hiburan Hye Bro! & gaya hidup sepenuh masa di Broframestone.com dan Social Media Influencer. 10 tahun terlibat dengan dunia hiburan sebagai Media & kini banyak luangkan masa dengan keluarga