Artis Popular Bakal Memeriahkan Kejohanan E-Sukan Kampus UiTM Puncak Alam

Artis Popular Bakal Memeriahkan Kejohanan E-Sukan Kampus UiTM Puncak Alam

Lebih ramai artis terkenal tanah air bakal memeriahkan #KEKJAM bersempena Celcom XPAX Kejohanan E-Sukan Kampus Zon Tengah yang bakal berlangsung 5 dan 6 Oktober ini bertempat di Dewan Berlian, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor.

5 artis popular seperti Wany Hasrita, Nabila Razali, Haqiem Rusli, Muna Shahirah dan Amir Hasan akan meneruskan menghiburkan penonton dalam satu konsert mini yang bukan sahaja menghimpunkan bakat-bakat e-sukan IPT tempatan tetapi juga peminat-peminat mereka.

#XPAXKEK menghimpunkan lebih 18 artis popular tanah air yang akan bersama-sama memeriahkan lagi pencarian bakat e-sukan dari kalangan pasukan IPT tempatan.

Terdahulu, #KEKJAM telah dimeriahkan oleh Indah Ruhaila dan Aman Aziz di Zon Borneo yang telah berlangsung di Unimas, Sarawak dan Zon Selatan yang berlangsung di Paradigm Mall, Johor Bharu pula telah dimeriahkan oleh Harris Baba, Wani Kayrie dan Afieq Shazwan.

Celcom XPAX Kejohanan E-Sukan Kampus Zon Tengah

Antara artis popular lain yang bakal memeriahkan #KEKJAM di #XPAXKEK ini adalah Hael Husaini, Ernie Zakri, Ara Johari, Ismail Izzani dan Naim Daniel. Turut bersama memeriahkan lagi #KEKJAM adalah Tajul, Tuah Adzmi dan Zack Zakwan.

Media Prima Digital dan Celcom Axiata Berhad meneruskan penganjuran edisi kedua Celcom XPAX Kejohanan E-Sukan Kampus, dalam misi mencari bakat-bakat terbaik dalam kalangan pasukan e-sukan kampus di institusi pengajian tinggi seluruh negara, untuk merebut hadiah tunai terkumpul bernilai RM 180,000.

Dianjurkan MyGameOn, portal permainan kendalian Media Prima Digital, dengan kerjasama rakan strategik e-sukan Kitamen, acara ini akan diadakan di lima zon berbeza di seluruh negara.

Selepas berjaya menarik lebih 17,000 pengunjung dan 2.2 juta tontonan video dalam edisi sebelumnya, kali ini, #XPAXKEK akan mempertaruhkan dua judul permainan mudah alih popular di dunia, Mobile Legends Bang Bang dan PUBG Mobile ke dalam arena di mana setiap pasukan berpeluang mempamerkan skil masing-masing untuk merebut hadiah tunai terkumpul RM 180,000!

Pemenang setiap zon kemudiannya akan bertanding di ‘grand final’ untuk merebut kejuaraan utama akhir November ini di Kuala Lumpur. Kampus dengan mata terkumpul paling banyak berpeluang membawa pulang biasiswa bernilai RM 50,000, tajaan jenama belia unggul Celcom, Celcom XPAX, sebagai salah satu inisiatif mereka memperkasa e-sukan di Malaysia.

“Kami sangat gembira dengan kejayaan dan maklum balas positif yang diterima berkenaan #XPAXKEK. Melihat kepada komuniti e-sukan yang terus berkembang, #XPAXKEK bukan sahaja bertindak sebagai platform untuk mencari bakat-bakat muda kita tetapi turut sama melibatkan penyertaan akar umbi di seluruh Malaysia.

#XPAXKEK bukanlah sekadar acara hujung minggu; ia adalah acara untuk mendidik, menghibur dan membantu komuniti e-sukan tempatan meluaskan sayap serta potensi dan peluang karier mereka di masa hadapan” – Rafiq Razali, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital.

Edisi kedua #XPAXKEK akan turut menampilkan beberapa elemen seperti mendidik belia menerusi siri forum e-sukan bersama pemain industri, KEK Trial di mana pengunjung berpeluang memenangi hadiah menarik dengan menyertai permainan yang ditawarkan selain mencuba pengalaman permainan lain yang ada.

Selain itu, Legion daripada Lenovo akan turut menganjurkan perlawanan terbuka permainan CS : GO di mana pemenang berpeluang membawa pulang monitor dan komputer Lenovo.

Pengunjung boleh mengetahui lebih lanjut tentang #XPAXKEK di www.mygameon.my serta laman Facebook rasmi MyGameOn.

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments

Penulis blog hiburan Hye Bro! & gaya hidup sepenuh masa di Broframestone.com dan Social Media Influencer. 10 tahun terlibat dengan dunia hiburan sebagai Media & kini banyak luangkan masa dengan keluarga