Konsert Gegar Vaganza Musim 6 Dilanjutkan Selama 11 Minggu

Konsert Gegar Vaganza Musim 6 Dilanjutkan Selama 11 Minggu

Astro sekali lagi membuat kejutan tergempar apabila mengumumkan bahawa Konsert Gegar Vaganza Musim Keenam (GV6) yang sepatutnya berlangsung selama 8 minggu kini bakal dilanjutkan ke 11 minggu.

Keputusan ini dibuat sebagai tanda penghargaan dan terima kasih di atas sokongan padu para peminat yang setia menyokong penerbitan ‘GV’ selama enam musim bersiaran.

Dengan keputusan ini, kesemua sembilan bintang ‘GV6’ turut diumumkan layak mara ke pusingan seterusnya kerana tiada sebarang penyingkiran dibuat pada pusingan lalu.

Pada konsert pusingan ketujuh minggu lalu yang bertemakan ‘Caras’, bintang Singapura, HADY MIRZA sekali lagi mempamerkan prestasi cemerlang dan berjaya mengekalkan kedudukan selesa di tangga teratas selama dua minggu berturut-turut menerusi lagu ‘Jatuh Bangun’.




Persembahan padu Hady turut menerima pujian positif daripada barisan juri yang memberikan markah tertinggi sebanyak 84%. Manakala bintang ‘GV6’ yang dikatakan paling konsisten, Naqiu BOBOY turut mengekori rapat dan selesa di tangga kedua dengan markah sebanyak 83% menerusi lagu ‘Rampas’.

Hady Mirza Gegar Vaganza 2019
Hady Mirza berjaya mengekalkan kedudukan selesa di tangga teratas selama dua minggu berturut-turut.

Namun begitu, perjuangan Sham VISA dan Wann di pentas ‘GV6’ ternyata masih belum terhenti apabila pihak produksi mengumumkan bahawa tiada sebarang penyingkiran untuk minggu tersebut. Kedua mereka telah mendapat markah terendah daripada barisan juri dan turut berkongsi markah yang sama iaitu sebanyak 61%.

Cabaran di konsert minggu kelapan bakal menyaksikan persaingan di antara sembilan bintang ‘GV6’ dengan tema ‘Reset’ yang dipilih bersempena dengan simbolik bermulanya sebuah permulaan baru dalam perjuangan menuju pentas akhir.

HADY MIRZA diberi cabaran untuk menyanyikan lagu ‘Malaikat’ nyanyian asal oleh Hazama, NAQIU BOBOY (‘Percayalah’ oleh Dato’ Sri Siti Nurhaliza), ONE NATION EMCEES (‘Anak’ oleh Carefree), NOORSHILA AMIN (‘Samar Bayangan’ oleh Nicky Astria), JATT (‘Sejuta Wajah’ oleh Sweet Charity), ROY (‘Seniman Menangis’ oleh Dato’ Jamal Abdillah), NURFATIMA (‘Cobalah Untuk Setia’ oleh Krisdayanti), SHAM VISA (‘Separuh Aku’ oleh Noah) dan WANN (‘Wajah Rahsia Hati’ oleh Fauziah Dato’ Ahmad Daud).

Adakah HADY MIRZA berupaya mempertahankan kedudukan di tangga teratas pada pusingan ini? Bagaimana pula dengan persembahan bintang-bintang ‘GV6’ yang lain? Sama-sama kita nantikan persembahan mantap daripada kesemua bintang kelak.

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments

Penulis blog hiburan Hye Bro! & gaya hidup sepenuh masa di Broframestone.com dan Social Media Influencer. 10 tahun terlibat dengan dunia hiburan sebagai Media & kini banyak luangkan masa dengan keluarga