‘Stand Up Comedy Otai’ Bantu Pelawak Veteren Kembali Beraksi

‘Stand Up Comedy Otai’ Bantu Pelawak Veteren Kembali Beraksi

Astro telah melancarkan sebuah lagi program berkonsepkan komedi terbaharu berjudul ‘Stand Up Comedy Otai’ yang bakal bersiaran pada setiap Khamis mulai 5 Disember 2019, jam 9.30 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).

Program ini juga boleh distrim melalui platform Astro GO dan On Demand untuk pilihan lebih fleksibel.

Menggalas tanggungjawab sebagai ‘Tauke Panggung’, penyanyi, pelakon dan pelawak popular tanah air, Joey Daud diangkat sebagai hos program ‘Stand Up Comedy Otai’.

Ini merupakan penampilan solo beliau yang pertama sebagai pengacara program. ‘Stand Up Comedy Otai’ merupakan salah satu inisiatif Astro dalam menyediakan platform seterusnya membuka ruang kepada golongan penggiat seni veteran yang pada suatu ketika dahulu pernah mengecapi kegemilangan dan diminati ramai untuk kembali beraksi di persada seni tanah air.

18 Pelakon & Pelawak Veteran

Seramai 18 orang pelakon dan pelawak veteran yang cukup disegani ramai bakal terlibat menjayakan program ini seperti AR Badul, Salih Yaacob, Fauziah Nawi, Angeline Tan, Azlee Senario, Hamdan Ramli, Saiful Apek, Sheila Mambo, Mr Rama, Dato’ Shah Reza, Wan Maimunah, Pak Ya Senario, Jaafar Onn, Shamsul Ghau Ghau, Imuda, Ebby Yus, Jalil Hamid dan Sathiya.

Program yang berkonsepkan persembahan komedi stand-up secara solo ini tampil dengan tema yang berbeza untuk kesemua sepuluh (10) episod. Menariknya lagi, barisan selebriti ini diberikan peluang untuk berkongsi pengalaman dan kisah hidup sepanjang penglibatan mereka di dunia hiburan tempatan.

Namun begitu, penceritaan yang dipersembahkan mereka dibuat dalam nada komedi, bagi menepati konsep program. Menerusi ‘Stand Up Comedy Otai’ ini juga, buat julung kalinya peminat diberi kesempatan untuk menyaksikan penyatuan semula pemain-pemain utama siri komedi ‘Pi Mai Pi Mai Tang Tu’ dan ‘Senario’ di atas satu pentas yang sama.

Penghasilan program ‘Stand Up Comedy Otai’ ini merupakan sebahagian dari inisiatif tanggungjawab korporat yang diambil Astro bagi merealisasikan misi FINAS dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk terus memperbanyakkan penglibatan penggiat seni veteran di Malaysia khususnya untuk kekal aktif dan relevan dalam industri.

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments

Penulis blog hiburan Hye Bro! & gaya hidup sepenuh masa di Broframestone.com dan Social Media Influencer. 10 tahun terlibat dengan dunia hiburan sebagai Media & kini banyak luangkan masa dengan keluarga