Thursday, August 6
Home>>Informasi Artis>>“Maaf” Adira Suhaimi Melengkapi Drama Bersiri Terbaru, ‘Maaf Tak Indah’
Adira Single Maaf
Informasi ArtisSingle

“Maaf” Adira Suhaimi Melengkapi Drama Bersiri Terbaru, ‘Maaf Tak Indah’

Adira Single Maaf
Lagu “Maaf” ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh dipilih sebagai lagu tema utama drama bersiri terbaru berjudul ‘Maaf Tak Indah’ yang bakal menghiasi slot Samarinda TV3 mulai 12 Februari ini.

Drama lakonan Azlee Khairi, Azar Azmi, Ruhainies dan Fizo Omar yang diterbitkan oleh Zamriez Golden Pictures adalah adaptasi novel hasil karya Emy Roberto dan diarahkan oleh Zamri Zakaria.

Menurut Adira, sejak pembabitannya dalam dunia nyanyian hampir sedekad yang lalu, lebih daripada 10 buah lagu runut bunyi pernah dinyanyikannya.

Ini memberi kelebihan padanya memandangkan lagu “Maaf” akan berkumandang di kaca televisyen setiap hari selama hampir lima minggu. Justeru, ia secara tidak langsung memberikannya promosi percuma seterusnya menjadikan kerjaya seninya terus kekal relevan.

“Saya juga menganggap diri saya sangat bertuah, malah saya bersyukur apabila lagu digunakan sebagai soundtrack drama. Secara tidak langsung ia akan mengembangkan lagu itu apatah lagi drama dan lagu memang saling memerlukan antara satu sama lain,” – Adira.

“Maaf” adalah single solo kedua penyanyi kelahiran Ranau, Sabah itu bersama Nova Music (M) Sdn Bhd selepas “Pujaan Hati” yang menjadi lagu runut bunyi drama ‘Pujaan Hati Kanda’ yang dilakonkan oleh Remy Ishak dan Mira Filzah.

Adira juga pernah berduet bersama Hafiz Suip menerusi lagu “Takdir Tercipta” yang juga terbitan serta edaran Nova Music tahun lalu. Lagu berkenaan juga dipilih sebagai lagu soundtrack drama ‘Lelaki Mu Yang Dulu’ lakonan Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose juga untuk saluran TV3.

“Ini kali ketiga saya bekerja dengan Ikhwan iaitu selepas Takdir Tercipta dan Pujaan Hati.

Ia satu pengalaman menyeronokkan kerana Ikhwan seorang yang sangat berbakat. Karya ciptaanya juga sangat segar dan mengikut arus muzik semasa.”

Single “Maaf” Adira Suhaimi terbitan Nova Music (M) Sdn Bhd dilancarkan serentak dengan siaran episod pertama drama bersiri ‘Maaf Tak Indah’ pada 12hb. Februari dan kini boleh distrim di semua pelantar muzik digital termasuk Spotify, Apple Music, Joox, KK Box dan Deezer.

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments