Wednesday, December 2
Home>>Informasi Hiburan>>TV AlHijrah Siar 3 Rancangan Istimewa Beracuankan Al-Quran Al Karim
Ustazah Asma TVAlhijrah
Informasi Hiburan

TV AlHijrah Siar 3 Rancangan Istimewa Beracuankan Al-Quran Al Karim

TAHUN 2020, TV AlHijrah memberikan sepenuh penumpuan kepada penerbitan dan penyiaran rancangan-rancangan yang berunsurkan islamik serta penerapan nilai-nilai murni yang mampu membentuk sahsiah penonton.

Justeru, tiga rancangan istimewa beracuankan Al-Quran Al Karim akan ditayangkan di TV AlHijrah bermula Mac ini Antara rancangan tersebut adalah Maidatul Quran, Belaian Kasih dan Tausiyah Ustazah Asma.

Bulan ini juga menyaksikan pelancaran kempen #jomtontontvalhijrah di stesen televisyen berkonsepkan gaya hidup Islam ini. Menerusi kempen #jomtontontvalhijrah, secara mesra penonton di seluruh pelusuk Malaysia dan juga antarabangsa diajak untuk bersama-sama menyaksikan program-program baharu yang segar, menepati kehendak serta disuntik dengan ilmu bermanfaat yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Maidatul Quran

Program Maidatul Quran Tv AlHijrah

Program Maidatul Quran adalah cetusan idea dan kolaborasi yang terhasil daripada perbincangan erat di antara TV AlHijrah dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Maidatul Quran memulakan siaran pada 6 Mac 2020, setiap jumaat, jam 9 malam. Maidatul Quran adalah sebuah rancangan yang mengajak penonton untuk mengimani, memahami, mengamalkan dan menyebarkan kalam Allah SWT.

Mensasarkan keseimbangan pembentukan pola fikir seorang muslim, Maidatul Quran yang dihoskan oleh Fahrur Raqib Abdul Majid turut menerapkan konsep hiburan islamik yang menjadikan alunan bacaan ayat Al-Quran, qasidah, zikir sebagai elemen utama rancangan ini.

Demi memastikan para penonton menikmati Tasawwur Islam menerusi rancangan ini, pemilihan Qari dan Qariah pada setiap episod dilaksanakan penuh teliti dalam memastikan mesej dan objektif rancangan ini dapat diterima dan difahami masyarakat.

Antara barisan Qari hebat yang mengalunkan bacaan Al Quran adalah seperti Johan kategori tilawah Al Quran Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2020M iaitu Muhammad Qayyim Nizar Bin Sarimi yang juga merupakan OKU cacat penglihatan.

Turut memperdengarkan bacaan adalah Ustaz Wan Fakhrul, Ustaz Amirahman, Ustaz Tirmizi Ali, Adik Muhammad Harith Hakimi, Hajah Normalina, Nor Farhatul Fairuzah dan penampilan istimewa Qari antarabangsa iaitu Sheikh Momin Hawas.

Belaian Kasih

Belaian Kasih TV AlHijrah

Belaian Kasih akan ditayangkan di TV AlHijrah setiap hari isnin bermula 2 Mac 2020 pada jam 7.30 malam. Belaian kasih merupakan program bual bicara santai yang dikendalikan oleh pasangan sejoli iaitu Dato’ Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamod bersama suami nya Ustaz Wan Akasyah Wan Abdul Hamid.

Rancangan ini akan membincangkan perihal rumahtangga dan isu-isu kekeluargaan. Penonton akan disajikan dengan pelbagai tips, panduan dan ilmu rumahtangga untuk melayari alam perkahwinan hingga ke jannah.

Tausiyah Ustazah Asma

Tausiyah Ustazah Asma merupakan sebuah rancangan selami rohani bersama Ustazah Asma, iaitu seorang personaliti dakwah yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Rancangan tazkirah harian sebanyak 13 episod ini bakal menemui penonton bermula 24 Mac 2020, pada setiap hari Selasa jam 6.30 petang.

Tausiyah Ustazah Asma membawa penonton menyelami ilmu agama serta memberi sentuhan rohani buat penonton untuk kekal mengabdikan diri kepada Allah SWT. Ustazah Asma turut membimbing penonton memupuk dan mengekalkan rasa cinta terhadap Rasulullah SAW.

Ustazah Asma TVAlhijrah

Penonton akan disajikan dengan pelbagai topik yang menarik dan berbeza pada setiap minggu. Antara tajuk-tajuk yang harus ditonton adalah seperti Engkau yang menciptakanku, Engkau yang membentukku, Engkau yang mencukupiku, dan Engkau yang memeliharaku.

TV AlHijrah amat berkeyakinan bahawa kesemua rancangan-rancangan di atas mampu membudayakan Al-Quran dalam meningkatkan kualiti kehidupan seharian.

Jadi, jangan ketinggalan untuk terus setia bersama TV AlHijrah sepanjang tahun 2020 kerana banyak rancangan baru dan terbaik telah disusun khas untuk sajian penonton.

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments