Wednesday, August 5
Home>>Informasi Hiburan>>Ratu Hijabista – Pencarian ikon Wanita Moden Masa Kini
Informasi Hiburan

Ratu Hijabista – Pencarian ikon Wanita Moden Masa Kini

Sejak mula diperkenalkan pada tahun 2012, Majalah Hijabista terbukti berjaya memberi impak sekaligus mewarnai industri penerbitan dan digital tanah air. Sehingga kini, jenama Hijabista juga sering menjadi rujukan golongan wanita berhijab khusus dalam memberi inspirasi, tip kecantikan, fesyen dan juga kerohanian.

Justeru, buat julung kalinya pihak Astro menerusi kerjasama strategik di antara saluran Astro Prima dan pihak Nu Ideaktiv Sdn. Bhd. bakal menganjurkan pertandingan realiti ‘Ratu Hijabista’ bagi mencari ikon wanita berhijab yang berinspirasi dan boleh menjadi contoh kepada segenap lapisan masyarakat.

Bakal bersiaran selama lapan minggu, para peserta harus memperlihatkan pesona ratu ideal melalui siri cabaran yang bakal menguji kekuatan fizikal dan mental serta keazaman mereka untuk menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat sekaligus berentap untuk merebut gelaran juara.

Pencarian ‘Ratu Hijabista’

12 Finalist Ratu Hijabista

Untuk makluman, susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat krisis pandemik Covid-19, sesi ujibakat peringkat pertama dan kedua pencarian ‘Ratu Hijabista’ juga telah dijalankan secara atas talian sepanjang tempoh bermula 1 hingga 14 Jun yang lalu.

Penyertaan yang terbuka kepada semua wanita Malaysia berhijab berumur di antara 21 hingga 30 tahun ini juga telah menarik lebih 550 calon peserta untuk memuatnaik video ujibakat mereka di laman sosial Instagram. Daripada jumlah tersebut, seramai 12 finalis terbaik telah disenarai pendek menerusi sesi saringan yang ketat untuk diserap masuk bagi memeriahkan penganjuran musim pertama.

Personaliti jelita tersohor dalam bidang pengacaraan, Puan Sri Normala Samsudin diberi mandat untuk menggalas tanggung jawab selaku juri tetap yang bakal mengadili pencarian ‘Ratu Hijabista’ musim pertama. Beliau juga turut terlibat dalam penjurian tertutup sewaktu sesi ujibakat baru-baru ini.

Sementara itu, nantikan juga penampilan istimewa barisan personaliti popular yang diundang khas secara bergilir-gillir pada setiap minggu sebagai juri jemputan.

Nasib para peserta akan ditentukan sepenuhnya berdasarkan sistem pemarkahan 100% oleh pihak juri profesional. Mereka akan dinilai mengikut kriteria utama termasuklah elemen keyakinan diri, kebijaksanaan, keluasan pengetahuan am, kreativiti, personaliti dan karisma yang menarik.

Manakala pelakon dan pengacara yang semakin meningkat naik, Uyaina Arshad dan Fikry Ibrahim pula digandingkan buat pertama kali untuk mengemudikan pencarian kali ini sebagai hos program.

Pemilihan kedua-dua mereka sebagai hos untuk program bukan sahaja berdasarkan kepada bakatnya dalam bidang pengacaraan, malah mereka turut memiliki personaliti yang bersahaja dan menarik yang sememangnya menepati konsep dan penonton sasaran program ini.

Juara ‘Ratu Hijabista’ akan membawa pulang wang tunai RM10,000, tiara, trofi dan selempang. Peserta yang mendapat kedudukan di tangga kedua pula bakal membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta trofi dan selempang. Manakala pemenang ‘Hijabista Favourite 2020’ pula akan dipilih bedasarkan undian peminat tertinggi di laman web rasmi www.hijabista.com.my

Dalam pada itu, penganjuran ‘Ratu Hijabista’ juga turut disokong oleh Safi Hijabista yang hadir sebagai Penaja Utama untuk penganjuran musim pertama. Manakala ZAYAN pula turut menghulurkan sokongan selaku Radio Rasmi.

Ratu Hijabista

12 Finalist Ratu Hijabista

  1. AISHAH – Siti Aishah Idris, 27, Pulau Pinang | IG @i_shahidris
  2. AQILLA – Nur Aqilla Sidi Ahmad, 25, Negeri Sembilan | IG @qilalawa
  3. AUNEE – Aunee Azrina Zulkifli, 27, Johor | IG @auneekifli
  4. EKA – Asfika Mohamad, 26, Pahang | IG @eka_mohamad
  5. ELLYNA – Nurul Ellyna Anuar, 21, Johor | IG @nurulellynaa
  6. FIFFY AFRINA – Nurfiyanti Afrina Roslan, 23, Pulau Pinang | IG @fiffyafrina
  7. JIHA – Nur Fatin Najihah Noor Hisham, 21, Johor | IG @najihah_sham
  8. QILA – Wan Nur Aqilah Shahirah Wan Lokman, 21, Selangor | IG @qilaistheone
  9. SAREE – Siti Sariah Abdullah, 21, Selangor | IG @sareeabd
  10. MELL – Shamellya Norazizi, 23, Selangor | IG @mellyazizi
  11. TINA – Qistina Sofia Abdul Aziz, 24, Shah Alam | IG @tinaziz
  12. YUSRINA – Nuryusrina Shan Firdaus Shan, 23, Kedah | IG @yusrinashan

Rangkaian program ‘Ratu Hijabista’ akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan perkhidmatan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Kapsul pengenalan 12 peserta boleh ditonton melalui liputan harian ‘Profil Ratu Hijabista’ pada setiap hari, jam 11.55 pagi dan 6.55 petang bermula 23 Julai hingga 9 Ogos 2020. Klip sedutan aktiviti perkembangan para peserta sepanjang musim ini pula dapat ditonton melalui liputan harian ‘Jurnal Ratu Hijabista’ pada setiap hari Isnin hingga Rabu, jam 6.55 petang bermula 10 Ogos 2020.

Manakala rakaman program pencarian ‘Ratu Hijabista’ pula akan bersiaran selama lapan episod pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam mulai 12 Ogos 2020.

Di samping itu, perjalanan terkini para peserta juga akan mendapat liputan menyeluruh termasuklah paparan aktiviti di sebalik tabir menerusi laman sosial Majalah Hijabista.

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments