Tuesday, September 22
Home>>Informasi Artis>>Perkembangan Selebriti>>Andi Bernadee Penat? Single Terbaru Buat Peminat
Andi Bernadee
Perkembangan SelebritiSingle

Andi Bernadee Penat? Single Terbaru Buat Peminat

Meskipun kerjaya seninya baru berusia 3 tahun, penyanyi Andi Bernadee yang mesra disapa sebagai Andi ini berjaya menempatkan dirinya sebagai antara penyanyi lelaki yang cukup terkenal pada masa kini.

Memulakan kerjaya seninya pada tahun 2017, popularitinya mula naik mendadak apabila Andi membadai industri muzik Malaysia dengan lagu hits ‘Satu Peluang’, ‘Donde’ dan ‘Shimmy’ yang mengetengahkan genre reggaeton.

Lagu-lagu popularnya ini bukan sahaja menjadi siulan ramai malah berjaya mencipta fenomena tersendiri.

Meskipun lebih dikenali dengan muzik reggaeton, Andi berjaya merealisasikan hasratnya untuk menyajikan kelainan menerusi single ketujuhnya berjudul “PENAT” yang membawakan rentak balada. Kali terakhir Andi mempertaruhkan lagu balada menerusi single pertamanya ‘Tiada Lagi Maaf’.

Single ‘PENAT’ Andi Bernadee

Andi Bernadee Penat

“PENAT” merupakan ciptaan Andi sendiri bersama komposer Nur Iman dan Efry Arwis. Berbeza lagu balada yang berada di pasaran muzik tempatan ketika ini, “PENAT” cuba mengetengahkan rentak balada yang berbeza. Lagu yang diberi susunan muzik melankolis ini mampu menjeruk rasa sesiapa yang mendengarnya.

Struktur lagu yang bermula minimalis dengan iringan piano dan gitar ini, kemudiannya diberi binaan dramatik sehingga ke penghujung lagu menjadikan lagu ini kedengaran sangat indah namun cukup menghibakan.

Turut menjadikan lagu ini sarat dengan emosi adalah penyampaian Andi yang penuh penghayatan dalam melantunkan bait-bait lirik lagu ini yang berkisar tentang perjuangan seseorang dalam mengharungi pahit manis kehidupan.

“Walaupun saya berjaya menempa nama melalui muzik reggaeton, namun kali ini saya nekad untuk untuk mempertaruhkan lagu balada pula. Saya mahu keluar daripada zon selesa dan ingin mempelbagaikan lagi jenis muzik dalam karya saya.

Memang ini bukan kali pertama saya membawakan lagu berentak balada, namun karya kali ini mempamerkan jenis balada yang berbeza dan lebih sesuai dengan citarasa muzik saya. Saya berharap lagu ini mendapat sambutan positif pendengar walaupun ianya berbeza daripada lagu-lagu hits saya sebelum ini.” – Andi Bernadee

Lagu ini beliau tuju khas buat para peminat yang setia menyokongnya selama ini.

Andi Bernadee
“Saya tidak akan pernah penat menghasilkan karya-karya terbaik untuk mereka. Video muzik rasmi “PENAT” juga merupakan antara video muzik yang memakan kos tertinggi pernah dihasilkan setakat ini.”

Single “PENAT” hasil terbitan Warner Music Malaysia ini boleh didapati di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 16 SEPTEMBER 2020 manakala video muzik rasmi “PENAT” boleh ditonton di saluran Youtube Warner Music Malaysia bermula 16 SEPTEMBER 2020.

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments